MALAYSIA MENGALU-ALUKAN RESOLUSI MAJLIS KESELAMATAN PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MENGENAI GAZA
MALAYSIA MENGALU-ALUKAN RESOLUSI MAJLIS KESELAMATAN
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MENGENAI GAZA
Malaysia mengalu-alukan Resolusi 2735 (2024) yang telah diluluskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 10 Jun 2024.
Resolusi ini menggariskan cadangan tiga fasa oleh Amerika Syarikat yang menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan; pembebasan tebusan; pertukaran tahanan warga Palestin dan pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza dilaksanakan.
Resolusi tersebut juga menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza.
Malaysia menggesa agar Resolusi ini dilaksanakan secara menyeluruh, bagi meringankan penderitaan dan menghentikan pembunuhan rakyat Palestin, selaras dengan mandat Majlis Keselamatan PBB.
Malaysia mengulangi sokongan terhadap isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan supaya Palestin diterima sebagai Anggota Penuh PBB.
PUTRAJAYA
11 Jun 2024