MALAYSIA MENGALU-ALUKAN PESURUHJAYA TINGGI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU BAGI HAK ASASI MANUSIA 4 JUN 2024
MALAYSIA MENGALU-ALUKAN
PESURUHJAYA TINGGI PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU
BAGI HAK ASASI MANUSIA
4 JUN 2024
Tuan Yang Terutama Volker Türk, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia akan mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia pada 4 Jun 2024, atas jemputan Kerajaan Malaysia.
TYT Volker Türk akan disertai oleh pegawai-pegawai kanan dari Pejabat di Geneva dan Bangkok, dalam lawatan sulung ke Asia Tenggara sebagai Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia. Selain Malaysia, beliau akan melawat Thailand dan Laos. TYT Volker Türk tiba di Malaysia pada 1 Jun 2024.
Semasa di Malaysia, TYT Volker Türk akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan mengadakan mesyuarat dengan YB Menteri Luar Negeri, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan serta beberapa anggota Kabinet lain. Beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta anggota-anggota masyarakat sivil yang berkaitan.
Lawatan Kerja TYT Volker Türk adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia memupuk kerjasama dengan PBB bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman mengenai hak asasi manusia untuk dinikmati bersama oleh seluruh rakyat Malaysia.
Malaysia merupakan anggota Majlis Hak Asasi Manusia yang aktif dan sentiasa memainkan peranan yang konstruktif dalam Majlis tersebut. Malaysia telah dipilih menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia untuk tiga penggal iaitu 2006-2009, 2010-2013 dan 2022-2024. Tempoh keanggotaan semasa dalam Majlis akan berakhir pada 31 Disember 2024. Malaysia telah membentangkan dengan jayanya Laporan Negara Keempat mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Majlis Hak Asasi Manusia pada bulan Januari 2024.
Lawatan Kerja TYT Volker Türk merupakan lawatan yang kedua oleh Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB ke Malaysia. PYT Michele Bachelet, bekas Pesuruhjaya Tinggi telah melawat Malaysia pada tahun 2019.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia telah ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 1993 untuk membantu Negara-Negara Anggota PBB mempromosi pembangunan mampan dan memperkasa kerjasama antarabangsa dalam usaha meningkatkan kesedaran dan melindungi hak asasi manusia.
PUTRAJAYA
3 Jun 2024