MALAYSIA MENGALU-ALUKAN PENGUMUMAN PEMBUKAAN PEJABAT EKONOMI DAN PERDAGANGAN HONG KONG
MALAYSIA MENGALU-ALUKAN PENGUMUMAN PEMBUKAAN
PEJABAT EKONOMI DAN PERDAGANGAN HONG KONG
Malaysia mengalu-alukan pengumuman oleh Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) untuk menubuhkan Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) yang baru di Kuala Lumpur. Pembukaan HKETO ini mencerminkan usaha berterusan untuk mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dan perdagangan di antara Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) dan Malaysia. Keputusan ini adalah susulan daripada cadangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia kepada TYT John Lee, Ketua Eksekutif HKSAR, semasa mesyuarat dua hala di Putrajaya pada Julai 2023.
Terletak di lokasi strategik di Asia Tenggara, Malaysia akan terus memperluaskan dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai rakan penting Hong Kong dalam bidang perdagangan, pelaburan dan kerjasama ekonomi yang sedia ada antara kedua-dua pihak.
Kekuatan dan keakraban hubungan ini jelas diperlihatkan oleh nilai dagangan antara kedua-dua pihak. Pada tahun 2023, Malaysia dan Hong Kong melaporkan jumlah perdagangan RM105.09 bilion (USD23.03 bilion) – jumlah eksport direkod pada RM89.84 bilion (19.69 bilion USD) manakala jumlah import bernilai RM15.25 bilion (3.34 bilion USD), dengan imbangan perdagangan memihak kepada Malaysia.
Pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua pihak adalah aktif dan amat baik. Selain daripada lawatan Ketua Eksekutif HKSAR tahun lepas, Setiausaha Kewangan dan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi turut mengunjungi Malaysia pada bulan Mac dan Julai 2023. Menteri-menteri Kabinet Malaysia, termasuk YB Menteri dan YB Timbalan Menteri dari Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pelancongan dan Budaya (MOTAC), serta Timbalan Menteri Luar Negeri juga telah mengadakan lawatan ke HKSAR.
Pembukaan HKETO yang baru di Kuala Lumpur bukan sahaja mencerminkan lembaran baru dalam hubungan Malaysia-Hong Kong tetapi juga menjadikan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China lebih bermakna.
PUTRAJAYA
28 Februari 2024