MALAYSIA MENGALU-ALUKAN LANGKAH-LANGKAH TAMBAHAN BAGI MENGHENTIKAN GENOSID DI GAZA
MALAYSIA MENGALU-ALUKAN LANGKAH-LANGKAH TAMBAHAN
BAGI MENGHENTIKAN GENOSID DI GAZA
Malaysia mengalu-alukan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 28 Mac 2024 bagi kes berkaitan Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid di Gaza.
Israel secara berterusan menjalankan operasi ketenteraaan di keseluruhan Gaza walaupun resolusi 2728 (2024) diterimapakai pada 25 Mac 2024. Ini telah menyebabkan lebih banyak kematian orang awam, kemusnahan kediaman dan infrastruktur bangunan yang menyebabkan penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal. Tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan ini adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan pelbagai resolusi yang diterimapakai oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Perhimpunan Agung dan Majlis Hak Asasi Manusia.
Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa untuk menekan Israel bagi memenuhi obligasinya dan menegakkan undang-undang antarabangsa serta menghentikan keganasan berterusan Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza yang kini dilanda kebuluran, malnutrisi dan penyakit.
Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan supaya Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB.
PUTRAJAYA
29 Mac 2024