MALAYSIA MEMPERINGATI HARI HAK ASASI MANUSIA 2024
MALAYSIA MEMPERINGATI
HARI HAK ASASI MANUSIA 2024
KUALA LUMPUR, 10 Disember 2024 – Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri (BHEUU JPM), Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Malaysia dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) telah memperingati Hari Hak Asasi Manusia dengan menganjurkan secara bersama sebuah Forum bertemakan, “Memperkasa Hak Kita, Menjamin Masa Depan Kita: Tanggungjawab Perniagaan untuk Rakyat dan Negara”.
Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi). Dalam ucapannya, Dato’ Sri Azalina telah menegaskan bahawa sambutan Hari Hak Asasi Manusia adalah peringatan tentang peranan penting yang dimainkan oleh semua pihak dalam mempromosikan dan melindungi hak asasi manusia. Inisiatif yang telah diambil oleh Kerajaan, seperti Pelan Tindakan Nasional mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, memperluas akses kepada keadilan melalui bantuan guaman, penyelesaian pertikaian alternatif, meningkatkan ketelusan dengan pembangunan undang-undang Kebebasan Maklumat dalam memperkukuh SUHAKAM melalui pindaan Akta SUHAKAM 1999 [Akta 597], dan menjadikan ruang siber lebih selamat, menunjukkan komitmen teguh kerajaan untuk menegakkan hak asasi manusia dan memupuk masyarakat yang lebih adil.
Pengerusi SUHAKAM, YBhg. Dato’ Seri Mohd Hishamudin Md. Yunus dalam ucapannya, menyebut bahawa “hak asasi manusia bukan sekadar suatu aspirasi tetapi ia adalah kewajipan yang berakar umbi dalam Perlembagaan Persekutuan, komitmen antarabangsa, dan kemanusiaan bersama.” Selanjutnya, beliau juga menyatakan bahawa “dalam ekonomi global kita yang saling berkaitan, perniagaan mempunyai potensi besar untuk memacu perubahan positif. Walau bagaimanapun, mereka juga memikul tanggungjawab yang mendalam untuk memastikan pertumbuhan dan operasi mereka tidak mengorbankan maruah manusia.”
Puan Karima El Korri, Penyelaras Residen PBB untuk Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam, dalam ucapannya menekankan bahawa hak asasi manusia mempunyai kepentingan khusus untuk negara seperti Malaysia, yang bercita-cita untuk mencapai status Berpendapatan Tinggi, dan wujudnya pelbagai cabaran yang mendesak adalah selari dengan keutamaan pembangunan. Pencapaian dalam hak asasi manusia dan Matlamat Pembangunan Mampan (SGD) memerlukan pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat, dengan perniagaan memainkan peranan penting. Selain itu, dengan mengguna pakai strategi patuh hak, perniagaan bukan sahaja menegakkan piawaian etika tetapi juga membuka peluang manfaat komersial yang ketara.
Forum ini turut menampilkan sesi perbincangan panel mengenai perniagaan dan hak asasi manusia, yang dikendalikan oleh moderator Dr. Punitha Silivarajoo, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) di BHEUU. Panel tersebut terdiri daripada YM Tengku Fauzi Tengku Abdul Hamid (Pesuruhjaya SUHAKAM), Cik Shireen Jasmin Ali (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), Cik Luanne Sieh (Kumpulan CIMB), dan Cik Siti Nur Alina (PETRONAS). Sumbangan melalui mesej video turut disampaikan oleh Encik Edmund Bon, Wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), dan Dr. Pichamon Yeopanthong, Pengerusi Kumpulan Kerja PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia.
Forum ini juga menyaksikan peluncuran Modul SUHAKAM untuk Hak Asasi Manusia bagi Pendidik oleh Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta pelancaran terjemahan perjanjian teras hak asasi manusia dan Konvensyen Geneva ke dalam Bahasa Melayu oleh Yang Berbahagia Amb. Dato’ Bala Chandran Tharman, Timbalan Ketua Setiausaha (Hal Ehwal Pelbagai Hala), Kementerian Luar Negeri.
Dalam ucapan penutup beliau, Dato’ Bala Chandran Tharman, menekankan pencapaian Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia, termasuk usaha melindungi kumpulan terpinggir, memperjuangkan isu Palestin dan melaksanakan cadangan daripada Semakan Berkala Sejagat. Ucapan beliau mengukuhkan lagi komitmen Malaysia terhadap kerangka hak asasi manusia antarabangsa, termasuk inisiatif seperti pemerkasaan wanita, keselamatan kanak-kanak dalam ruang digital dan perlindungan untuk warga emas. Forum ini telah dihadiri oleh lebih 500 peserta dari kalangan Kerajaan, kor diplomatik, belia, akademik, sektor swasta dan pertubuhan masyarakat sivil.
Disediakan bersama oleh:
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, JPM
Kementerian Luar Negeri
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM)
PBB di Malaysia (UNCT)
10 DISEMBER 2024