MALAYSIA DIPILIH SEMULA SEBAGAI AHLI MAJLIS PENTADBIRAN PUSAT MEKANISASI PERTANIAN MAMPAN (CSAM) BAGI PENGGAL 2025-2028 DAN INSTITUT PERANGKAAN UNTUK ASIA DAN PASIFIK (SIAP) BAGI PENGGAL 2025-2027
MALAYSIA DIPILIH SEMULA SEBAGAI AHLI MAJLIS PENTADBIRAN PUSAT
MEKANISASI PERTANIAN MAMPAN (CSAM) BAGI PENGGAL 2025-2028 DAN
INSTITUT PERANGKAAN UNTUK ASIA DAN PASIFIK (SIAP) BAGI PENGGAL
2025-2027
Malaysia telah berjaya dipilih semula menganggotai dua badan penting di bawah Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) iaitu Pusat Mekanisasi Pertanian Mampan (CSAM) dan Institut Perangkaan untuk Asia dan Pasifik (SIAP).
Pemilihan tersebut telah diadakan semasa Sesi ke-81 UNESCAP pada 22 April 2025 di Bangkok, Thailand. Malaysia ialah antara lapan Negara yang dipilih bagi menganggotai kedua-dua badan ini.
Malaysia, yang diwakili oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah dipilih semula sebagai Ahli Majlis Pentadbiran CSAM bagi penggal 2025-2028. CSAM memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama teknikal antara ahli dan ahli bersekutu UNESCAP. Ia mempromosikan perkongsian pengetahuan, penyelidikan dan pembangunan agro-perniagaan dalam bidang mekanisasi pertanian mampan. Malaysia telah menjadi Ahli Majlis Pentadbiran CSAM untuk dua penggal berturut-turut bagi tempoh 2018–2022 dan 2022–2025.
Bagi SIAP, Malaysia, yang diwakili oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), telah dipilih semula sebagai Ahli Majlis Pentadbiran SIAP bagi penggal 2025-2027. SIAP memperkukuh keupayaan statistik Negara-Negara di rantau Asia-Pasifik dan membantu Negara-Negara berkenaan dalam mengumpul, menyebar dan menganalisis data bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial. Malaysia telah dipilih untuk menjadi Ahli Majlis Pentadbiran SIAP bagi penggal 2010–2012 dan 2022–2024. Malaysia juga merupakan salah sebuah Negara Pengasas SIAP sejak tahun 1970.
Malaysia akan terus menyokong kerja CSAM dan SIAP dan terlibat secara aktif dan menyumbang kepada pemerkasaan peranan kedua-dua badan penting di bawah naungan UNESCO.
PUTRAJAYA
23 April 2025