Malaysia dipilih sebagai Pengerusi Mesyuarat Kumpulan Kerja Perkongsian Data, Analisis, Penyebaran dan Komunikasi Statistik (WGDSA), 2026-2027 Menyatukan Suara ASEAN ke Arah Masa Depan yang Inklusif Berasaskan Data
PENGERUSI ASEAN MALAYSIA 2025
Malaysia dipilih sebagai Pengerusi Mesyuarat Kumpulan Kerja Perkongsian Data, Analisis, Penyebaran dan Komunikasi Statistik (WGDSA), 2026-2027
Menyatukan Suara ASEAN ke Arah Masa Depan yang Inklusif Berasaskan Data
PUTRAJAYA, 11 Jun 2025 – Di bawah kepimpinan Pengerusi ASEAN Malaysia 2025 yang bertemakan “Inklusiviti dan Kelestarian,” Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah berjaya menganjurkan Mesyuarat Kumpulan Kerja Perkongsian Data, Analisis, Penyebaran dan Komunikasi Statistik ke-23 (WGDSA23) pada 10 hingga 11 Jun 2025 di Putrajaya.
Sebagai satu lagi pengiktirafan terhadap kepimpinan dan komitmen Malaysia, mesyuarat telah sebulat suara memilih Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja WGDSA bagi penggal 2026–2027 untuk tempoh dua tahun. Pelantikan ini mencerminkan kepercayaan berterusan negara anggota terhadap peranan aktif Malaysia dalam memperkukuh sistem statistik ASEAN.
WGDSA menghimpunkan 18 perwakilan dari Negara Anggota ASEAN (AMS) dan Sekretariat ASEAN (ASEANstats), termasuk penyertaan maya dari Myanmar, untuk memajukan kerjasama statistik serantau, menggalakkan ketelusan data, dan mengukuhkan strategi komunikasi di bawah Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS).
Dalam ucapan pembukaan, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia merangkap Pengerusi ACSS15, menegaskan komitmen berterusan Malaysia dalam memacu inovasi, keterangkuman dan daya tahan dalam ekosistem statistik serantau. Beliau turut menekankan bahawa statistik yang boleh diakses, dipercayai dan tepat pada masanya adalah asas penting kepada pembuatan dasar berasaskan bukti serta pembangunan dan integrasi ASEAN.
"Ketika kita bergerak bersama, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan statistik disampaikan dengan jelas, dikongsi secara bermakna dan digunakan secara berkesan untuk menyokong kemajuan ASEAN. Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kekal komited untuk menggalakkan kerjasama statistik, pembinaan kapasiti dan inovasi di seluruh rantau ini," katanya.
WGDSA23 berfungsi sebagai platform strategik untuk AMS mengkaji kemajuan dan memajukan inisiatif statistik serantau utama. Perbincangan pada mesyuarat itu tertumpu kepada pelaksanaan Multi-Year Plan (MYP) WGDSA, expansion of the ASEAN Statistical Indicators – Consolidated Template (ASI-CT), penyepaduan Application Programming Interfaces (API) untuk akses data masa nyata, dan pengembangan jangkauan statistik melalui inisiatif seperti Akademi Pembelajaran Maya ASEAN dan program kesedaran yang disasarkan. Secara khusus, mesyuarat telah membincangkan penambahbaikan templat pengumpulan data ASI-CT bagi indikator dalam bidang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), industri pembuatan, inflasi, penduduk dan pekerjaan.
Pencapaian ketara statistik ASEAN bagi tahun 2016 – 2023 antaranya adalah, ASEAN mencatat pertumbuhan yang kukuh merentas pelbagai sektor utama. KDNK nominal rantau ini meningkat sebanyak 42.2%, daripada USD 2.66 trilion kepada USD 3.79 trilion, manakala jumlah penduduk bertambah daripada 644.1 juta kepada 677.6 juta orang. Perdagangan barangan berkembang sebanyak 32.6%, daripada USD 2.22 trilion kepada USD 2.94 trilion, manakala perdagangan perkhidmatan melonjak sebanyak 61.5%, daripada USD 670.5 bilion kepada USD 1.08 trilion. Perdagangan intra-ASEAN turut mencatat peningkatan ketara, daripada USD 542.9 bilion kepada sekitar USD 810 bilion. Selain itu, kadar penembusan internet meningkat daripada kira-kira 46% kepada hampir 78%, mencerminkan transformasi digital dan keterhubungan yang pesat di seluruh rantau ASEAN.
Usaha-usaha ini telah menjadi tunjang kepada komitmen ASEAN terhadap pembangunan yang inklusif, berdaya tahan dan mampan. Usaha WGDSA, bersama kumpulan kerja ACSS yang lain, telah membantu meningkatkan bilangan indikator yang dikumpul dalam pangkalan data ASEANstats. Kini, ASI-CT merangkumi lebih daripada 700 indikator yang diselaraskan, termasuk dalam bidang-bidang baharu seperti pekerjaan tidak formal, PKS dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). Walaupun ketersediaan data masih berbeza antara Negara Anggota ASEAN, kadar ketersediaan terus menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
Pengiktirafan Malaysia sebagai negara kedudukan teratas dalam Inventori Data Terbuka (ODIN) 2023/2024 oleh Open Data Watch menekankan lagi komitmen negara terhadap ketelusan, kualiti data dan akses terbuka. "Pengiktirafan ini bukan sahaja merupakan peristiwa penting negara, tetapi seruan serantau untuk bertindak untuk membina kepercayaan orang ramai terhadap statistik rasmi dan memupuk budaya keterbukaan dan celik statistik," tambah Dato' Sri Dr. Uzur.
"Sebagai ahli komuniti statistik, kami menyedari kepentingan ketelusan, keterbukaan dan kebolehcapaian dalam menyokong pembuatan keputusan berasaskan bukti—sama ada oleh penggubal dasar, perniagaan, pelabur, atau orang awam," kata YBhg. Dato' Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia.
"Dalam dunia hari ini, statistik dan data telah menjadi antara aset yang paling berharga. Apabila kami mempunyai data berkualiti dan statistik yang boleh dipercayai, kami memegang alat yang berkuasa untuk membuat keputusan termaklum. Sumber-sumber ini membolehkan kami mengoptimumkan perancangan dan memastikan setiap keputusan berpandukan bukti. Ini adalah kunci untuk mencapai matlamat pembangunan negara dan memastikan tiada siapa yang ketinggalan."
"Dari perspektif ekonomi yang mudah, kita tahu bahawa kehendak manusia tidak terhingga. Itulah sebabnya penting bagi kita untuk memperuntukkan sumber kita yang terhad dengan bijak, berdasarkan data yang tepat dan analisis yang kukuh. Dalam konteks ini, statistik berfungsi bukan sahaja sebagai nombor—tetapi sebagai kompas strategik untuk pertumbuhan yang mampan dan inklusif," tambahnya.
Pencapaian utama WGDSA23 ialah pembentangan Pelan Tindakan awal 2025 Malaysia untuk Inisiatif Kesedaran, Keutamaan Tahunan ACSS di bawah rangka kerja pelaporan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC). Inisiatif itu sebelum ini disokong oleh Ketua-ketua Pejabat Statistik Kebangsaan (NSO) pada Sesi ke-14 Sistem Statistik Komuniti ASEAN (ACSS14) di Laos. Sebagai negara peneraju, Malaysia mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas khusus mengenai Kesedaran dan Penglibatan Statistik di bawah WGDSA untuk mengemudi pelaksanaannya. Inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan celik statistik, keterlihatan, dan kepercayaan awam terhadap statistik ASEAN melalui beberapa siri aktiviti serantau, termasuk acara utama sempena Hari ASEAN (8 Ogos) dan Hari Perangkaan Sedunia (WSD) 2025.
Memandang ke hadapan, WGDSA kekal fokus untuk meningkatkan laman web dan aplikasi mudah alih ASEANstats; mempercepatkan pembangunan platform ASEAN Data Intelligence and Exchange (ADIX), Mengukuhkan rangka kerja kerjasama antara agensi untuk tadbir urus data bersepadu, memperluaskan kapasiti teknikal melalui ASEAN-Help-ASEAN Framework (AHAF). WGDSA kekal teguh dalam misinya untuk mempromosikan inovasi statistik, meningkatkan komunikasi data, dan memastikan statistik ASEAN berfungsi sebagai aset strategik untuk penggubalan dasar dan kepercayaan awam. Ketika ASEAN menempa laluan ke arah Wawasan 2045, pelaburan berterusan dalam statistik berkualiti tinggi dan harmoni akan menjadi kunci untuk merealisasikan aspirasi bersama rantau ini. Malaysia juga mengulangi komitmennya terhadap pembinaan kapasiti serantau dengan menerajui program bersama dan menawarkan kepakaran teknikal untuk pertukaran dan perkongsian pengetahuan.
Mencerminkan semangat perpaduan ASEAN, perwakilan juga menikmati keramahan mesra Malaysia, memupuk dialog yang membina dan hubungan yang lebih erat.
Hasil WGDSA23 akan memaklumkan secara langsung pelaksanaan Pelan Tindakan ACSS 2026–2030 yang sejajar dengan visi pasca-2025 Komuniti ASEAN yang lebih luas, mengukuhkan peranan statistik dalam integrasi serantau dan pembangunan dasar. Sebagai Pengerusi ACSS15, Malaysia terus menerajui teladan dalam mempromosikan ketelusan data, keterangkuman dan tadbir urus berasaskan bukti di seluruh ASEAN.
Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mempengerusikan Jawatankuasa Sistem Statistik Komuniti ASEAN Ke-15 (ACSS15) yang bertujuan untuk memperkukuh kerjasama statistik ke arah pembangunan serantau yang mampan.
Kerajaan Malaysia telah mengisytiharkan 20 Oktober sebagai Hari Statistik Negara (MyStats Day), dengan tema 'Statistik Nadi Kehidupan.' Sementara itu, Hari Statistik Dunia Keempat akan disambut pada 20 Oktober 2025 dengan tema 'Driving Change with Quality Statistics and Data for Everyone'.
OpenDOSM NextGen adalah medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
Dikeluarkan oleh:
PEJABAT KETUA PERANGKAWAN MALAYSIA
JABATAN PERANGKAAN MALAYSIA
11 JUN 2025