MALAYSIA DIPILIH SEBAGAI AHLI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA BAGI PENGGAL 2022 – 2024
MALAYSIA DIPILIH SEBAGAI AHLI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA
BAGI PENGGAL 2022 – 2024
Malaysia telah diberi kepercayaan melalui pelantikannya sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) bagi penggal 2022-2024 semasa
pengundian sempena Sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York pada Khamis, 14 Oktober 2021.
Malaysia berjaya meraih sebanyak 183 undi.
Pemilihan Malaysia ke MHAM merupakan bukti pengiktirafan dan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap usaha dan peranan
Malaysia dalam membina kesepakatan serta menyumbang terhadap kemajuan hak asasi manusia diperingkat antrabangsa. Malaysia akan
mengambil peluang keanggotaan MHAM kali ini untuk memberi penekanan kepada kepentingan dalam memupuk semangat bekerjasama,
keterlibatan yang membina dan menyeluruh, telus, saling hidup secara aman dan menghormati antara satu sama lain.
Sebagai ahli MHAM, Malaysia akan memperjuangkan hak golongan rentan terutamanya kanak-kanak, wanita, orang asli, dan warga tua.
Malaysia bercadang untuk memperkasa golongan belia terutamanya dalam proses membuat keputusan di semua peringkat. Malaysia turut
akan mengutamakan akses kepada persekitaran yang selamat, bersih, sihat, dan lestari sebagai hak asasi manusia yang perlu dilindungi
dan dipromosikan, sepertimana yang diperakui oleh MHAM baru-baru ini. Di persada antarabangsa, Malaysia akan terus membantah
sekeras-kerasnya penindasan hak asasi manusia yang dilakukan, antaranya terhadap rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar. Pada
masa yang sama, Malaysia juga akan bekerjasama dalam usaha pembangunan semula Afghanistan.
Malaysia sebelum ini telah menjadi anggota MHAM sebanyak dua kali, iaitu pada 2006-2009 dan 2010-2013 di mana Malaysia telah
mengambil pendekatan yang seimbang dan tidak memihak kepada mana-mana unsur politik dalam menangani isu hak asasi manusia.
Malaysia percaya bahawa peranan MHAM akan menjadi semakin penting dalam memastikan agenda hak asasi manusia terus
diketengahkan, terutamanya ketika dunia kini sedang kembali pulih daripada wabak COVID-19. Sehubungan itu, Malaysia akan
memainkan peranan aktif dalam MHAM serta proses-proses yang berkaitan, dalam mencari persefahaman dan dapat bangkit secara aman
untuk menjadi lebih kuat daripada sebelumnya, serta memastikan bahawa tiada negara yang tercicir di belakang.
MHAM adalah badan dalam sistem PBB yang bertanggungjawab dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia secara
menyeluruh. Ia dianggotai oleh 47 anggota yang memainkan peranan dalam mempertimbangkan semua isu tematik mengenai hak asasi
manusia, kes pencabulan hak asasi manusia dan perkara–perkara tertentu yang memerlukan perhatian MHAM.
PUTRAJAYA
15 OKTOBER 2021