MAKLUMAT TERKINI BERHUBUNG ISU WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LUAR NEGARA
MAKLUMAT TERKINI BERHUBUNG ISU WARGANEGARA MALAYSIA YANG MENJADI MANGSA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LUAR NEGARA
Kementerian Luar Negeri (KLN) ingin memaklumkan bahawa seramai 13 orang lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja telah diselamatkan dan pulang ke tanah air pada hari Jumaat, 30 September 2022 melalui penerbangan Air Asia AK535.
Sehingga kini, seramai 261 orang mangsa telah berjaya diselamatkan, di mana 171 orang telah dibawa balik ke Malaysia dan baki seramai 90 orang sedang menunggu proses penghantaran pulang.
Selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 21 September 2022, satu Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh KLN telah ditubuhkan bagi menangani isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara secara lebih bersepadu dan menyeluruh.
Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas tersebut telah dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri secara dalam talian pada 27 September 2022. Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh sembilan (9) Kementerian/Agensi lain iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM); Jabatan Peguam Negara (AGC); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Imigresen Malaysia (JIM); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM); Kementerian Sumber Manusia (KSM); Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Antara cadangan dan tindakan yang telah, dan akan diambil hasil Mesyuarat Jawatankuasa Khas adalah seperti berikut:
i. KLN telah mengadakan pertemuan dengan Ketua-ketua Perwakilan negara-negara yang terlibat pada 30 September 2022. Pertemuan ini bertujuan memaklumkan pendirian Kerajaan Malaysia yang prihatin dan memandang serius isu ini. Di samping itu, pertemuan ini merupakan usaha berterusan Kerajaan untuk mendapatkan kerjasama negara-negara yang terlibat dalam menggiatkan usaha mengesan dan menyelamatkan warganegara Malaysia yang menjadi mangsa;
ii. Ketua-ketua Perwakilan asing yang berkenaan telah menyatakan komitmen Kerajaan masing-masing untuk memberikan kerjasama erat dalam menangani isu ini. Pada masa yang sama, Ketua-ketua Perwakilan Malaysia di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand telah diminta untuk terus berusaha menyelesaikan isu ini secara cepat dan tuntas;
iii. KLN dan PDRM sedang menyelaraskan usaha bagi membolehkan kerjasama yang lebih rapat di antara PDRM dengan pihak berkuasa negara-negara yang berkenaan melalui pertemuan khusus bagi menangani isu ini; dan
iv. KLN juga telah mengadakan perbincangan dengan pihak K-KOM untuk menyediakan Pelan Komunikasi yang lebih komprehensif dalam memberikan pendedahan dan kesedaran kepada orang ramai serta golongan sasaran supaya tidak mudah terpedaya dan terjebak dalam sindiket ini.
Pihak KLN dan Perwakilan Malaysia di negara-negara yang terlibat akan terus komited dalam menjalinkan hubungan kerjasama rapat dengan Kerajaan negara-negara yang berkenaan bagi menggiatkan usaha mengesan, menyelamat dan membawa pulang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket ini ke tanah air dengan selamat.
Orang ramai sentiasa dinasihatkan supaya segera membuat laporan kepada PDRM dan KLN sekiranya ada di antara ahli keluarga mereka menjadi mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. KLN sentiasa komited dalam memastikan keselamatan dan kebajikan Keluarga Malaysia di luar negara sentiasa terpelihara.
PUTRAJAYA
1 Oktober 2022