MAKLUM BALAS KEMENTERIAN LUAR NEGERI TERHADAP LAPORAN THE STAR BERTAJUK “POSTAL VOTING: WRONG INFO SHARED ON FOREIGN MISSION WEBSITES, SAYS GLOBAL BERSIH” BERTARIKH 25 JUN 2023
MAKLUM BALAS KEMENTERIAN LUAR NEGERI TERHADAP LAPORAN THE STAR BERTAJUK “POSTAL VOTING: WRONG INFO SHARED ON FOREIGN MISSION WEBSITES, SAYS GLOBAL BERSIH” BERTARIKH 25 JUN 2023
Kementerian Luar Negeri merujuk kepada laporan The Star pada 25 Jun 2023 yang memetik kenyataan Global Bersih berhubung perkongsian maklumat permohonan Pengundian Pos bagi pengundi di luar negara melalui Portal Rasmi Pejabat-pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia.
Kementerian ini ingin menjelaskan bahawa pautan ke maklumat terperinci mengenai Permohonan Undi Pos Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 bagi Permohonan Undi Pos Kategori 1B (Luar Negara) – Online, seperti yang tertera di Laman Web Rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu https://www.spr.gov.my/ms/permohonan-undi-pos-pru-dun-ke-15, telah mula dihebahkan di Portal Rasmi Kementerian ini - https://www.kln.gov.my mulai 16 Jun 2023. Perkara yang sama turut dimuat naik di semua platform media sosial rasmi utama Kementerian iaitu Facebook, Instagram dan Twitter.
Kementerian ini seterusnya ingin memaklumkan bahawa maklumat-maklumat tersebut telah juga dimuat naik di Portal-portal Rasmi hampir kesemua Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia serta platform media sosial rasmi masing-masing mulai tarikh yang sama. Walau bagaimanapun sebilangan kecil Pejabat Perwakilan Diplomatik Malaysia telah berdepan masalah-masalah teknikal bagi pengemaskinian Portal Rasmi mereka. Pejabat-pejabat Perwakilan berkenaan telah dan sedang mengambil tindakan mengatasi masalah-masalah teknikal berkenaan.
Kementerian Luar Negeri akan terus memastikan maklumat yang jelas, sahih dan terkini yang disediakan SPR dapat disalurkan bagi makluman para pengundi dan rakyat Malaysia di luar negara dalam konteks kerjasama perkongsian maklumat di antara Kementerian ini dengan Suruhanjaya tersebut untuk manfaat pengundi dan rakyat Malaysia di luar negara.
PUTRAJAYA
26 Jun 2023