MAJLIS PELANCARAN KEMPEN SUMBANGAN PERKHIDMATAN AWAM KEPADA PALESTIN PERINGKAT KEMENTERIAN LUAR NEGERI
MAJLIS PELANCARAN KEMPEN SUMBANGAN PERKHIDMATAN AWAM KEPADA PALESTIN PERINGKAT KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Kementerian ini telah melancarkan Kempen Sumbangan Perkhidmatan Awam kepada Palestin Peringkat Kementerian Luar Negeri pada 27 Oktober 2023. Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri serta turut dihadiri oleh YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, YBhg. Dato’ Seri Amran Mohamed Zin, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, pegawai dan kakitangan Kementerian Luar Negeri.
Kempen ini merupakan sebahagian daripada usaha mencapai aspirasi Kerajaan Malaysia Madani untuk membantu serta menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang terkesan akibat situasi semasa di Semenanjung Gaza, selain mendukung inisiatif Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam yang telah dilancarkan oleh YBhg. Dato’ Seri Tan Sri Mohd Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara (KSN) pada 24 Oktober 2023 yang lalu. Sumbangan yang terkumpul ini akan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).
Kementerian Luar Negeri mengalu-alukan semua penjawat awam untuk menyokong inisiatif ini serta menyalurkan sumbangan ke AAKRP dan secara tidak langsung dapat membantu meringankan kesengsaraan yang sedang dialami oleh rakyat Palestin.
PUTRAJAYA
27 Oktober 2023