MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2021 DAN JASAMU DIKENANG TAHUN 2022 KEMENTERIAN LUAR NEGERI
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG TAHUN 2021
DAN JASAMU DIKENANG TAHUN 2022
KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 dan Jasamu Dikenang Tahun 2022 Kementerian Luar Negeri telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, Wisma Putra, Putrajaya pada 14 September 2022.
Acara tahunan ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri yang turut dihadiri oleh YB Dato’ Kamarudin Jaffar, Timbalan Menteri Luar Negeri, Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian serta warga Kementerian Luar Negeri.
Majlis tersebut adalah bagi meraikan seramai 111 orang penjawat awam yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang di sepanjang tahun 2021 dan 30 orang penjawat awam yang telah bersara wajib di antara bulan Oktober 2021 hingga Ogos 2022. Kesemua penerima yang diraikan ini merangkumi penjawat-penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai gred dan skim perkhidmatan, bukan sahaja di peringkat Ibu Pejabat, malah turut merangkumi mereka yang bertugas di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), serta pejabat-pejabat perwakilan di luar negara.
Kementerian mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Pemberian anugerah ini merupakan manifestasi Kerajaan dalam menghargai para penjawat awam yang telah melaksanakan tugas dengan cemerlang pada tahun 2021. Jutaan terima kasih juga dirakamkan kepada para pesara di atas segala jasa dan bakti yang telah diberikan sepanjang perkhidmatan, khususnya di Kementerian Luar Negeri.
Semasa berlangsungnya majlis ini juga, YB Menteri Luar Negeri telah mengumumkan penubuhan pewujudan pakar-pakar bidang khusus (Subject Matter Experts - SMEs) yang menggabungkan warga Kementerian dengan pakar dari luar bagi membolehkan hal ehwal hubungan antarabangsa dan isu-isu yang berkepentingan dengan negara dapat dikendalikan dengan lebih berkesan melalui fokus yang bersasar. Enam (6) Kumpulan SMEs tersebut akan diketuai oleh Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian seperti berikut:
1. Perubahan Iklim (Climate Change) – TYT Dato’ Dr. Ahmad Faisal Muhamad, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva;
2. Kemajuan Teknologi (Technology Advancement) – TYT Dato' Ahmad Rozian Abd. Ghani, Duta Besar Malaysia ke Belgium;
3. Arkitektur Antarabangsa (International Architectures) – YBhg. Dato’ Zanariah Zainal Abidin, Ketua Pengarah Sekretariat Kebangsaan ASEAN-
Malaysia;
4. Hal Ehwal Maritim (Maritime Affairs) – YBrs. Dr. Adina Kamarudin, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Maritim;
5. Penghakupayaan Wanita (Women Empowerment) – PYT Dato’ Nadzirah Osman, Duta Besar Malaysia ke Belanda; dan
6. Hal Ehwal Pelucutan Senjata (Disarmament Affairs) – TYT Dato’ Syed Md Hasrin Tengku Hussin, Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu di New York.
PUTRAJAYA
14 September 2022