MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2020 DAN JASAMU DIKENANG 2021 KEMENTERIAN LUAR NEGERI
MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2020 DAN JASAMU DIKENANG 2021 KEMENTERIAN LUAR NEGERI
Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2020 dan Jasamu Dikenang 2021 Kementerian Luar Negeri telah diadakan di Wisma Putra, Putrajaya pada 5 November 2021.
Acara tahunan ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri yang turut dihadiri oleh Pegawai-Pegawai Kanan serta warga Kementerian Luar Negeri.
Majlis tersebut adalah untuk meraikan seramai 113 orang penjawat awam yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang di sepanjang tahun 2020 dan 31 orang penjawat awam yang telah bersara wajib di antara bulan November 2020 hingga September 2021. Kesemua penerima yang diraikan ini merangkumi penjawat-penjawat awam yang terdiri daripada pelbagai gred dan skim perkhidmatan, bukan sahaja di peringkat Ibu Pejabat, malah turut merangkumi mereka yang bertugas di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR), Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), serta pejabat-pejabat perwakilan di luar negara.
Kementerian mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Semoga kejayaan mereka menjadi pembakar semangat kepada semua penjawat awam di Kementerian ini untuk terus menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan dalam memberikan khidmat yang terbaik.
Bagi para pesara pula, Kementerian merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas sumbangan dan jasa yang telah dicurahkan di sepanjang tempoh perkhidmatan mereka khususnya di Kementerian Luar Negeri.
PUTRAJAYA
5 November 2021