LAWATAN TUAN YANG TERUTAMA JOHN LEE KA-CHIU KETUA EKSEKUTIF WILAYAH PENTADBIRAN KHAS HONG KONG KE MALAYSIA 27 – 29 JULAI 2023
LAWATAN TUAN YANG TERUTAMA JOHN LEE KA-CHIU
KETUA EKSEKUTIF WILAYAH PENTADBIRAN KHAS HONG KONG
KE MALAYSIA
27 – 29 JULAI 2023
Tuan Yang Terutama (TYT) John Lee Ka-Chiu, Ketua Eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), akan mengadakan lawatan ke Malaysia dari 27 hingga 29 Julai 2023. Lawatan ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia selepas menyandang jawatan sebagai Ketua Eksekutif HKSAR kelima pada tahun 2022.
Delegasi ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan HKSAR, wakil-wakil daripada pelbagai sektor, termasuk perindustrian dan komersial, perdagangan, inovasi dan teknologi serta pengangkutan dan logistik.
Semasa lawatan tersebut, Ketua Eksekutif John Lee dijadual untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Kedua-dua pihak dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan semasa kerjasama dua hala dan langkah-langkah ke hadapan, terutamanya dalam bidang perdagangan dan ekonomi, inovasi dan teknologi, dan pertukaran rakyat ke rakyat. Beliau juga akan menghadiri forum perniagaan Malaysia-Hong Kong dan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MOU) antara entiti perniagaan dari kedua-dua pihak.
HKSAR adalah antara rakan dagang utama Malaysia dan merupakan rakan dagangan kesembilan terbesar Malaysia pada 2022. Jumlah dagangan antara Malaysia dan HKSAR bernilai RM113.20 bilion (USD25.69 bilion), peningkatan sebanyak 20.0 peratus daripada 2021. Lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia dengan nilai RM78 bilion (USD17.66 bilion).
PUTRAJAYA
27 Julai 2023