LAWATAN RASMI YB MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK ISLAM IRAN 25 – 27 FEBRUARI 2025
LAWATAN RASMI YB MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK ISLAM IRAN
25 – 27 FEBRUARI 2025
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Islam Iran dari 25 hingga 27 Februari 2025. Lawatan ini merupakan lawatan sulung YB Menteri Luar Negeri ke Republik Islam Iran, yang mempamerkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala dalam pelbagai sektor bagi kepentingan bersama kedua-dua negara.
Pada 26 Februari 2025, YB Menteri Luar Negeri akan mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama kali ke-8 (8 th Joint Commission Meeting – JCM) antara Malaysia dan Republik Islam Iran dengan rakan sejawat, TYT Seyyed Abbas Araghchi, Menteri Luar Negeri Republik Islam Iran. JCM kali ke-8 ini akan membincangkan skop and memperincikan bidang-bidang kerjasama strategik antara kedua-dua negara, termasuk bidang politik, pertahanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan, bank dan kewangan, pertanian, kesalinghubungan, tenaga, pelancongan dan budaya, sains dan teknologi, wanita dan keluarga, pendidikan dan industri halal.
Semasa lawatan ini, YB Menteri Luar Negeri dijangka akan mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Dr. Masoud Pezeshkian, Presiden Republik Islam Iran. Perbincangan mereka akan tertumpu kepada hubungan dua hala antara Malaysia dan Iran, serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, khususnya situasi di Palestin dan Timur Tengah.
Pada tahun 2024, Republik Islam Iran merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di rantau Asia Barat, dengan jumlah dagangan bernilai RM2.6 bilion (USD0.57 bilion), peningkatan sebanyak 24.6 peratus daripada tahun 2023. Malaysia ialah rakan dagang terbesar Iran di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-19 terbesar di peringkat global pada tahun 2023.
PUTRAJAYA
25 Februari 2025