LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN, MENTERI LUAR NEGERI, KE REPUBLIK SINGAPURA 27-28 MEI 2024
LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN,
MENTERI LUAR NEGERI, KE REPUBLIK SINGAPURA
27-28 MEI 2024
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Singapura pada 27 dan 28 Mei 2024. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Republik Singapura selaku Menteri Luar Negeri Malaysia.
Di samping mengadakan pertemuan bersama rakan sejawat beliau, Dr. Vivian Balakrishnan, YB Menteri Luar Negeri juga telah mengadakan sesi menghadap ke atas TYT Tharman Shanmugaratnam, Presiden Republik Singapura dan mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas TYT Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura dan TYT Lee Hsien Loong, Menteri Kanan Republik Singapura.
Semasa pertemuan-pertemuan ini, kedua-dua pihak telah menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura dan menggariskan komitmen untuk meningkatkan kerjasama erat sebagai persediaan bagi Sesi Pemukiman Tahunan Pemimpin-Pemimpin yang akan diadakan pada akhir tahun ini di Malaysia. Selain itu, Menteri Luar Negeri turut membincangkan dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk mengenai Myanmar, Laut China Selatan dan Palestin.
Singapura juga telah memberi jaminan untuk memberikan sokongan kepada Malaysia semasa kepengerusian ASEAN pada 2025.
Berlandaskan hubungan baik dua hala sedia ada, lawatan ini menggariskan komitmen bersama Malaysia dan Singapura untuk memperkukuh hubungan yang telah lama terjalin serta kerjasama erat dalam pelbagai bidang. Pada tahun 2023, Malaysia dan Singapura masing-masing merupakan rakan dagang kedua terbesar di peringkat global serta terbesar dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM363.13 bilion (USD79.60 bilion).
PUTRAJAYA
28 Mei 2024