LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN, MENTERI LUAR NEGERI, KE REPUBLIK INDONESIA 6 FEBRUARI 2024
LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN,
MENTERI LUAR NEGERI, KE REPUBLIK INDONESIA
6 FEBRUARI 2024
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri Malaysia telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Indonesia pada 6 Februari 2024. Ini adalah lawatan pertama susulan pelantikan beliau selaku Menteri Luar Negeri pada 12 Disember 2023. YB Menteri Luar Negeri diiringi oleh pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Luar Negeri.
Di Jakarta, YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas TYT Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia. YB Menteri Luar menyatakan lawatan ini adalah kesinambungan gerak kerja Kerajaan Malaysia untuk terus mengeratkan hubungan silaturrahim dengan Kerajaan Indonesia serta meningkatkan kerjasama di peringkat ASEAN. YB Menteri Luar Negeri selanjutnya menyentuh agar aktiviti perdagangan sempadan di Tebedu dan Entikong dapat dipergiatkan semula bagi mencapai sasaran dagangan tahunan sebanyak USD30 billion seperti mana yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pemimpin negara.
YB Menteri Luar Negeri turut mengadakan pertemuan dengan PYT Retno L. P. Marsudi, Menteri Luar Negeri Indonesia. Kedua-dua pihak telah membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama. Pertemuan ini juga memberikan peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan dalam hubungan dua hala dan menerokai potensi kolaborasi baharu ke arah mengukuhkan jalinan yang terjalin mesra.
Selain hal ehwal dua hala, YB Menteri Luar Negeri turut bertukar-tukar pandangan dengan Presiden Jokowi dan Menteri Luar Indonesia berkenaan perkembangan isu serantau dan global terutamanya berkenaan situasi di Myanmar dan konflik di Palestin. Di samping itu, kedua-dua negara bersetuju untuk bekerjasama rapat dalam menangani isu diskriminasi minyak sawit, yang mana Malaysia dan Republik Indonesia adalah antara pengeksport utama dunia.
YB Menteri Luar Negeri turut berbincang dengan rakan sejawatnya selaku ahli troika dalam usaha ASEAN membantu Myanmar mencari penyelesaian damai di negara tersebut. YB Menteri Luar Negeri menekankan peri pentingnya perpaduan dalam ASEAN bagi menangani hal ini.
YB Menteri Luar Negeri juga mengulangi pendirian Malaysia mengenai konflik Palestin yang turut dikongsi pendirian yang sama oleh Indonesia mengenai perjuangan dan hak rakyat Palestin untuk membentuk negara Palestin yang bebas dan merdeka.
Lawatan Rasmi ini merupakan testimoni kepada hubungan akrab dan komprehensif antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara jiran terdekat.
Pada tahun 2023, Republik Indonesia merupakan rakan dagang global ke-3 terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 billion (USD24.39 billion).
YB Menteri Luar juga telah berkesempatan untuk mengunjungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta serta beramah mesra dengan pegawai-pegawai di Kedutaan.
PUTRAJAYA
6 Februari 2024