LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN, MENTERI LUAR NEGERI, KE BRUNEI DARUSSALAM
LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI UTAMA HAJI MOHAMAD BIN HAJI HASAN,
MENTERI LUAR NEGERI, KE BRUNEI DARUSSALAM
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah mengadakan Lawatan Rasmi ke Negara Brunei Darussalam pada 15 Februari 2024. Ini merupakan lawatan pertama YB Menteri Luar Negeri ke Negara Brunei Darussalam sejak dilantik pada Disember 2023. YB Menteri Luar Negeri telah diiringi oleh pegawai-pegawai kanan daripada Kementerian Luar Negeri.
Di Bandar Seri Begawan, YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan Kunjungan Menghadap ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana isu-isu hubungan dua hala dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama telah dibincangkan.
YB Menteri Luar Negeri telah menyatakan komitmen untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala di antara Malaysia dan Brunei, terutama sekali dalam bidang perdagangan dan pelaburan. Berhubung isu antarabangsa, YB Menteri Luar Negeri telah mengulangi bahawa konflik di Palestin bukan hanya isu agama tetapi adalah isu kemanusiaan sejagat dan menyeru semua pihak untuk mengambil tindakan secara bersama dan tegas untuk menghentikan peperangan yang berlaku di Gaza.
YB Menteri Luar Negeri juga telah mengadakan pertemuan bersama YB Dato Seri Setia Haji Erywan bin Pehin Datu Pekerma Jaya Haji Mohd. Yusof, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II, Negara Brunei Darussalam. Kedua-dua Menteri Luar Negeri telah membincangkan perkembangan hasil Rundingan Pemimpin Tahunan ke-24 yang telah diadakan pada 3 Ogos 2023 di Putrajaya, Malaysia.
Kedua-dua pihak juga mengalu-alukan pembukaan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak (STATO) dalam suku kedua tahun ini. Ini akan menggalakkan peningkatan perdagangan dan perkembangan sektor pelancongan di kedua-dua negara.
Lawatan Rasmi ini telah mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brunei Darussalam. Tahun ini, kedua-dua negara akan meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik.
Pada tahun 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Brunei telah mencatatkan sebanyak USD2.04 bilion (RM9.31 bilion). Selain itu, Brunei juga merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia di peringkat antarabangsa dan ke-6 terbesar di kalangan negara-negara ASEAN.
PUTRAJAYA
15 Februari 2024