LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABDUL KADIR, MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE REPUBLIK DEMOKRATIK SOSIALIS SRI LANKA, 9 HINGGA 12 OKTOBER 2023
LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABDUL KADIR,
MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
KE REPUBLIK DEMOKRATIK SOSIALIS SRI LANKA,
9 HINGGA 12 OKTOBER 2023
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir, Menteri Luar Negeri Malaysia akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Colombo, Republik Demokratik Sosialis Sri Lanka pada 9 hingga 12 Oktober 2023. Ketika lawatan tersebut, YB Menteri Luar Negeri dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatannya, Tuan Yang Terutama Mohamed Uvais Mohamed Ali Sabry, Menteri Luar Negeri Sri Lanka. Pertemuan ini akan memberi peluang terbaik kepada kedua-dua pihak untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah sekian lama terjalin serta meneroka bidang kerjasama baharu yang berkepentingan bersama.
YB Menteri Luar Negeri dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Dinesh Gunawardena, Perdana Menteri Sri Lanka dan Tuan Yang Terutama Ranil Wickremesinghe, Presiden Sri Lanka.
YB Menteri Luar Negeri juga akan mengambil peluang mengadakan sesi libat urus bersama komuniti perniagaan di Sri Lanka bagi meneroka potensi kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Semasa Lawatan Rasmi ini juga, YB Menteri Luar Negeri akan menyertai Mesyuarat Ke-23 Majlis Menteri-Menteri Persatuan Lingkaran Lautan Hindi (Indian Ocean Rim Association, IORA) pada 11 Oktober 2023.
Kehadiran YB Menteri Luar Negeri ke Mesyuarat ini akan mengukuhkan lagi penglibatan Malaysia di rantau perairan Lautan Hindi dan kawasan sekitarnya.
Pada tahun 2022, Sri Lanka merupakan rakan dagang ke-48 terbesar Malaysia di peringkat global, dengan jumlah dagangan bernilai RM3.78 bilion (USD0.85 bilion), peningkatan sebanyak 13.2 peratus daripada RM3.34 bilion (USD0.81 bilion) yang direkodkan pada tahun 2021.
PUTRAJAYA
9 Oktober 2023