LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE REPUBLIK INDONESIA 28 – 30 DISEMBER 2022
LAWATAN RASMI YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR
MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
KE REPUBLIK INDONESIA
28 – 30 DISEMBER 2022
YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri Malaysia akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Jakarta, Republik Indonesia dari 28 hingga 30 Disember 2022. Lawatan ini merupakan Lawatan Rasmi pertama sejak pelantikan beliau pada 2 Disember 2022. YB Menteri akan diiringi oleh pegawai-pegawai daripada Wisma Putra.
YB Menteri akan mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia dan bertemu dengan rakan sejawat, PYT Retno L.P. Marsudi, Menteri Luar Negeri Republik Indonesia.
Lawatan Rasmi ini mencerminkan hubungan akrab dan komprehensif antara Malaysia dan Indonesia sebagai negara jiran terdekat. Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk menilai kemajuan kerjasama dua hala, menerokai potensi kerjasama baharu yang lebih komprehensif serta membincangkan usaha- usaha bersama bagi menangani cabaran serantau dan global.
YB Menteri dijadualkan untuk menyampaikan syarahan tentang pengukuhan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia kepada mahasiswa di Universiti Bina Nusantara (BINUS), Jakarta. Beliau juga dijadualkan untuk mengadakan sesi libat urus bersama Pertubuhan Bisnes Indonesia-Malaysia (IMBC), pimpinan belia Indonesia serta diaspora Malaysia di Jakarta.
Pada tahun 2021, Indonesia merupakan rakan dagangan ke-7 terbesar Malaysia dan ke-3 terbesar ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM95.31 bilion (USD22.98 bilion). Pada bulan Januari – Oktober 2022, jumlah dagangan telah mencecah RM110.44 bilion (USD25.19 bilion), peningkatan sebanyak 47.2% berbanding RM75.03 bilion (USD18.14 bilion) bagi tempoh yang sama pada tahun 2021.
PUTRAJAYA
28 Disember 2022