LAWATAN RASMI YB DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE REPUBLIK RAKYAT CHINA PADA 3 – 4 DISEMBER 2021
LAWATAN RASMI YB DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH
MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE REPUBLIK RAKYAT CHINA
PADA 3 – 4 DISEMBER 2021
YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri akan mengadakan satu lawatan rasmi ke Republik Rakyat China pada 3 - 4 Disember 2021. Lawatan rasmi ini adalah di atas undangan TYT Wang Yi, Penasihat Negara dan Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China. Beliau akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri.
YB Dato’ Saifuddin dan TYT Wang Yi akan mempengerusikan bersama Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Kerjasama Pasca Era COVID -19 yang ditubuhkan secara rasmi pada 1 April 2021. Mesyuarat ini akan dibuat secara hibrid. Pegawai-pegawai kanan dari kementerian-kementerian yang berkaitan akan menyertai mesyuarat ini secara maya.
Mesyuarat JPT ini adalah satu mekanisme dua hala di peringkat Menteri. Kedua-dua Menteri Luar Negeri akan membincangkan pelbagai kerjasama bagi mengukuhkan lagi hubungan Kerjasama Strategik Komprehensif Malaysia-China. Bidang-bidang yang akan dibincangkan termasuk perdagangan dan pelaburan, sains dan teknologi, ekonomi digital, komoditi dan perniagaan pertanian, diplomasi kesihatan, diplomasi budaya, pendidikan dan pelancongan. Kedua-dua Menteri Luar Negeri juga akan bertukar pandangan tentang hal ehwal perkembangan serantau dan antrabangsa.
Lawatan ini menandakan hubungan erat dan kesediaan Malaysia dan China untuk mempelopori usaha pemulihan serta mempromosikan pertumbuhan dan kemakmuran kedua-dua negara selepas kesan buruk wabak COVID-19.
Lawatan rasmi ini akan mematuhi SOP pencegahan COVID-19 yang ketat seperti yang dipersetujui oleh Malaysia dan Republik Rakyat China.
PUTRAJAYA
3 DISEMBER 2021