LAWATAN RASMI YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE REPUBLIK INDONESIA 20-22 APRIL 2025
LAWATAN RASMI YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI
KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE REPUBLIK INDONESIA
20-22 APRIL 2025
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Indonesia dari 20 hingga 22 April 2025. Lawatan ini mencerminkan kesinambungan kerjasama erat antara kedua-dua negara susulan Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia ke Malaysia pada bulan Januari 2025 yang lalu.
Semasa lawatan ini, YAB Timbalan Perdana Menteri dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas Yang Mulia Gibran Rakabuming Raka, Naib Presiden Republik Indonesia. Bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala, YAB Timbalan Perdana Menteri dijangka membincangkan serta meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan yang memberi tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); industri halal; pembangunan luar bandar; serta pengurusan bencana.
YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan menyaksikan pertukaran tiga Surat Niat yang merangkumi dua kerjasama TVET, antara Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Kerajaan Provinsi Daerah Khusus Ibukota Jakarta (DKI Jakarta), serta antara UniKL dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat; dan satu MoU antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Kerajaan Provinsi Sumatera Barat yang memfokuskan kepada pendidikan tinggi.
Sebagai sebahagian daripada aturcara lawatan, YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan melawat Badan Nasional Penanggulangan Bencana Indonesia (BNPB) dan Pusat Operasi Kecemasan di Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan bagi Pengurusan Bencana ASEAN (AHA Centre). YAB Timbalan Perdana Menteri akan turut menyertai Sesi Meja Bulat Halal dan mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil utama industri francais Indonesia, termasuk Persatuan Francais Indonesia (AFI) serta Waraba and Licence Franchise Indonesia (WALi).
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri turut dijadualkan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Indonesia, serta merasmikan majlis pelepasan ASEAN Unity Drive 2025 yang akan berlangsung di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.
Lawatan ini mengukuhkan lagi hubungan yang sedia erat dan akrab antara Malaysia dan Republik Indonesia. Ia juga menyediakan platform untuk mempertingkatkan kerjasama dua hala, di samping menangani cabaran serantau serta memperkukuh kolaborasi masa depan yang berkepentingan bersama.
Pada tahun 2024, Republik Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan yang kedua terbesar di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN. Jumlah dagangan dua hala pada tahun 2024 direkodkan sebanyak RM116.29 bilion (USD25.5 bilion), meningkat sebanyak 4.5 peratus berbanding RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) pada tahun 2023.
PUTRAJAYA
20 April 2025