LAWATAN RASMI YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE 28-30 OGOS 2024
LAWATAN RASMI YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN
MENTERI KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH KE
REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE
28-30 OGOS 2024
YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Demokratik Timor-Leste dari 28 hingga 30 Ogos 2024. YAB Timbalan Perdana Menteri akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan Kerajaan dan wakil daripada Halal Development Corporation (HDC), Universiti Malaysia Sabah (UMS), UniKL dan PLANMalaysia.
YAB Timbalan Perdana Menteri akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden José Ramos-Horta dan Perdana Menteri Kay Rala Xanana Gusmão, serta mengadakan perjumpaan dengan rakan sejawat beliau, Timbalan Perdana Menteri I dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi, Menteri Pelancongan dan Alam Sekitar Francisco Kalbuadi Lay dan Timbalan Perdana Menteri II dan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Sosial dan Menteri Kemajuan Desa dan Perumahan Masyarakat Mariano Assanami Sabino. Perbincangan dijangka akan menyentuh status hubungan dua hala Malaysia-Timor-Leste, kerjasama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), industri halal, pembangunan luar bandar dan perancangan bandar.
YAB Timbalan Perdana Menteri juga dijadualkan untuk menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman antara Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Nasional Timor-Leste dalam pengajian tinggi; Memorandum Persefahaman antara Education Malaysia Global Services (EMGS) dan Human Capital Development Fund Timor-Leste (FDCH) dalam Kerjasama mobiliti pelajar biasiswa Kerajaan Timor-Leste ke Malaysia; serta Surat Niat antara UniKL dan Institut Perniagaan Timor-Leste mengenai program pembangunan kakitangan dan mobiliti pelajar.
YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan merasmikan Sesi Meja Bulat anjuran HDC “Menjadikan Halal sebagai Sumber Baharu Pertumbuhan Ekonomi Timor-Leste" pada 29 Ogos 2024.
Di atas jemputan Kerajaan Timor-Leste, YAB Timbalan Perdana Menteri juga akan menghadiri sambutan Ulangtahun Referendum yang ke-25 (Popular Consultation Day) Timor-Leste di Parlimen Timor-Leste pada 30 Ogos 2024.
Lawatan Rasmi ini akan terus mengukuhkan lagi tahap hubungan dua hala sedia ada dan menunjukkan sokongan berterusan Malaysia terhadap aspirasi Timor-Leste untuk menjadi anggota penuh ASEAN.
PUTRAJAYA
28 Ogos 2024