LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK INDONESIA 9-11 NOVEMBER 2021
LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK INDONESIA 9-11 NOVEMBER 2021
YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia, akan mengadakan lawatan rasmi yang pertama beliau ke Republik Indonesia dari 9 hingga 11 November 2021. YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Menteri Kanan Pertahanan, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan dan pegawai-pegawai Kerajaan dari Kementerian dan Agensi yang berkaitan.
YAB Perdana Menteri dijadualkan untuk mengadakan perjumpaan dengan TYT Joko Widodo, Presiden Republik Indonesia.
Lawatan rasmi ini akan membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala yang sedia kukuh dan pelbagai antara Malaysia dan Republik Indonesia. Ia akan memberi peluang kepada kedua-dua Pemimpin negara untuk meneroka peluang kerjasama dalam usaha-usaha pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19. Kedua-dua Pemimpin juga akan membincangkan perkembangan-perkembangan penting dalam rantau ini dalam konteks kerjasama ASEAN, serta cabaran-cabaran yang mampu menjejaskan keamanan, pertumbuhan dan kemakmuran rantau ini.
Dalam rangka lawatan rasmi ini, YAB Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan dengan komuniti perniagaan dan pemain industri utama Indonesia, Ketua-ketua Editor Indonesia, diaspora Malaysia di Indonesia serta menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman dan Perjanjian di antara kedua-dua negara. YAB Perdana Menteri akan turut melawat fasiliti industri pertahanan di wilayah Bandung.
Lawatan rasmi ini akan dilaksanakan dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan oleh Kerajaan Malaysia dan Republik Indonesia.
PUTRAJAYA
9 NOVEMBER 2021