LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE BAHRAIN 18 – 20 FEBRUARI 2025
LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE BAHRAIN
18 – 20 FEBRUARI 2025
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain dari 18 hingga 20 Februari 2025 atas jemputan Yang Amat Mulia Putera Mahkota Salman bin Hamad Al Khalifa, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama YAB Perdana Menteri ke Bahrain, sekaligus mempamerkan komitmen Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Semasa lawatan ini, YAB Perdana Menteri akan disambut dalam Majlis Sambutan Rasmi dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Yang Amat Mulia Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain. Kedua-dua Perdana Menteri akan membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan Malaysia-Bahrain, dengan tumpuan kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sektor utama yang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan, keterjaminan makanan, perbankan Islam, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan. Selain itu, isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan.
YAB Perdana Menteri turut dijadual untuk mengadakan kunjungan menghadap ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja Hamad bin Isa Al Khalifa, Raja Bahrain untuk mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.
Selain itu, YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan TYT Shaikh Salman bin Khalifa Al Khalifa, Menteri Kewangan dan Ekonomi Negara Bahrain untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.
Di sela-sela lawatan ini, YAB Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dalam sesi utama Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin. Ucapan tersebut akan menekankan kepentingan perpaduan umat Islam dalam menghadapi cabaran global semasa.
Selaku Pengerusi ASEAN 2025, YAB Perdana Menteri juga akan memanfaatkan lawatan ini untuk memperkukuhkan kerjasama serantau, terutamanya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 yang dijadualkan di Kuala Lumpur.
Pada tahun 2024, Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM1.19 bilion (USD0.26 bilion). Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-18 terbesar di peringkat global pada tahun 2023.
PUTRAJAYA
18 Februari 2025