LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE ARAB SAUDI DAN PENYERTAAN KE SIDANG KEMUNCAK ASEAN-MAJLIS KERJASAMA TELUK (GCC) DI RIYADH, ARAB SAUDI 20 - 21 OKTOBER 2023
LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE ARAB SAUDI DAN
PENYERTAAN KE SIDANG KEMUNCAK ASEAN-MAJLIS KERJASAMA
TELUK (GCC) DI RIYADH, ARAB SAUDI
20 - 21 OKTOBER 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada 20 Oktober 2023 di Riyadh, Arab Saudi. YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC yang pertama kali diadakan ini menyediakan peluang dan platform penting dalam memperkukuhkan lagi hubungan antara Negara-negara Anggota ASEAN dan GCC melalui kerjasama politik, ekonomi dan sosio-budaya serta membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.
Sebagai Negara Penyelaras bagi hubungan ASEAN-GCC, penyertaan YAB Perdana Menteri dalam Sidang Kemuncak ASEAN-GCC mempamerkan komitmen teguh Malaysia kepada ASEAN di peringkat tertinggi. Ini amat penting memandangkan Malaysia, sebagai salah sebuah daripada lima negara pengasas ASEAN, telah menjadi anggota yang bertanggungjawab dan proaktif sejak penubuhan ASEAN pada 1967.
Sejurus tamat Sidang Kemuncak tersebut, YAB Perdana Menteri dijadual untuk mengadakan Lawatan Rasmi ke Arab Saudi atas jemputan Yang Amat Mulia Mohammed bin Salman Al Saud, Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi.
Agenda utama semasa lawatan ini adalah untuk meneruskan perbincangan bagi mempertingkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Arab Saudi, mempertingkatkan kerjasama ekonomi dan kolaborasi dalam bidang peralihan tenaga, serta mengenal pasti bidang kerjasama baharu. Lawatan ini juga akan memberi peluang bagi pemimpin kedua-dua negara bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
PUTRAJAYA
20 Oktober 2023