LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, PERDANA MENTERI MALAYSIA KE THAILAND 9-10 FEBRUARI 2023
LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM,
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE THAILAND
9-10 FEBRUARI 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Thailand pada 9 dan 10 Februari 2023 atas jemputan TYT Jeneral Prayut Chan- o-cha, Perdana Menteri Thailand. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Thailand selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail dan akan disertai oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri, YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim serta para pegawai Kerajaan dari Kementerian dan Agensi yang berkaitan.
Semasa lawatan rasmi tersebut, YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha. Pertemuan tersebut akan memberi peluang kepada kedua-dua pemimpin membincangkan hala tuju kerjasama pelbagai bidang antara Malaysia dan Thailand. Bidang-bidang utama meliputi kerjasama ekonomi, pembangunan kawasan sempadan dan projek-projek kesalinghubungan di kawasan sempadan darat. YAB Perdana Menteri dan Perdana Menteri Jeneral Prayut Chan-o-cha juga akan menyaksikan majlis pertukaran empat (4) Memorandum Persefahaman dalam bidang kerjasama tenaga dan ekonomi digital. Kedua-dua pemimpin akan turut bertukar- tukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang berkepentingan bersama. Selain itu, YAB Perdana Menteri akan mengadakan satu sesi libat urus dengan diaspora Malaysia di Bangkok.
Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang erat antara Malaysia dan Thailand, yang dibina berasaskan kepercayaan dan perkongsian bersama. Hubungan rapat ini telah memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara daripada kerjasama yang dilaksanakan dalam pelbagai sektor, terutamanya melalui kerjasama rentas sempadan.
Pada tahun 2022, Thailand merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM122.03 bilion (USD27.75 bilion), peningkatan sebanyak 17.9 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada tahun 2021.
PUTRAJAYA
8 Februari 2023