LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM 20 DAN 21 JULAI 2023
LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM 20 DAN 21 JULAI 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Republik Sosialis Vietnam pada 20 dan 21 Julai 2023 atas jemputan Tuan Yang Terutama Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Vietnam. YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Tuan Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan dari Kementerian dan agensi yang berkaitan.
Dalam rangka lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat beliau, TYT Pham Minh Chinh. Kedua-dua pemimpin tersebut akan memperhalusi kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021 – 2025 di bawah Kerangka Perkongsian Strategik Malaysia – Vietnam.
YAB Perdana Menteri turut dijadual untuk mengadakan kunjung hormat ke atas Presiden Vietnam, TYT Vo Van Thuong serta beberapa pertemuan dengan pemimpin utama Vietnam iaitu Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, TYT Nguyen Phu Trong dan Pengerusi Dewan Rakyat Vietnam (Chairman of the National Assembly of Vietnam), TYT Vuong Dinh Hue.
Dalam lawatan ini, YAB Perdana Menteri juga dijangka akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MOU) antara beberapa kementerian dan agensi Malaysia dengan pihak Vietnam dalam pelbagai sektor yang akan meningkatkan pelaburan dan perdagangan kedua-dua negara.
Program rasmi YAB Perdana Menteri di Hanoi juga termasuk menghadiri Persidangan Perniagaan Bersama Malaysia-Vietnam dan sesi bertemu diaspora Malaysia.
Lawatan rasmi ini dijangka mengukuhkan hubungan yang tersedia erat di antara Malaysia dan Vietnam selaku negara jiran dan rakan kongsi dalam ASEAN. Tahun 2023 merupakan sambutan Jubli Emas penubuhan hubungan diplomatik dan lawatan ini membuka ruang kepada kedua-dua negara untuk memperkukuhkan lagi hubungan yang telah terjalin.
Pada tahun lepas, jumlah dagangan dua hala di antara Malaysia dan Vietnam meningkat sebanyak 23.1%, daripada USD16.74 bilion (RM69.40 bilion) pada 2021, kepada USD19.44 bilion (RM85.40 bilion) pada 2022. Malaysia merupakan pelabur kesembilan terbesar di Vietnam dengan jumlah pelaburan sebanyak USD13.06 bilion.
PUTRAJAYA
20 Julai 2023