LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK SINGAPURA 30 JANUARI 2023
LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK SINGAPURA
30 JANUARI 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Singapura pada 30 Januari 2023, atas jemputan TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Republik Singapura. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Republik Singapura selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Delegasi YAB Perdana Menteri juga akan disertai oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri, YB Tuan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Tuan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital serta para pegawai Kerajaan dari Kementerian dan Agensi yang berkaitan.
YAB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Premier Sarawak dan YAB Datuk Onn Hafiz bin Ghazi, Menteri Besar Johor akan turut menyertai delegasi tersebut.
YAB Perdana Menteri akan bertemu pemimpin-pemimpin Singapura termasuk PYT Halimah Yacob, Presiden Republik Singapura dan TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Republik Singapura. Kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman untuk Mempromosikan Kerjasama dalam Data, Keselamatan Siber dan Ekonomi Digital serta dua (2) Kerangka Kerjasama dalam Ekonomi Digital dan Ekonomi Hijau. YAB Perdana Menteri akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.
Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Singapura sebagai jiran rapat serta negara anggota ASEAN, termasuk jalinan antara rakyat yang erat serta hubungan ekonomi yang kukuh. Lawatan ini akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk meneroka peluang kerjasama bagi meningkatkan lagi hubungan dua hala dan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
Pada 2022, Singapura merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah perdagangan berjumlah RM367.53 bilion (USD83.53 bilion), dengan peningkatan sebanyak 29.4 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.
PUTRAJAYA
29 Januari 2023