LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK FILIPINA 1 - 2 MAC 2023
LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
PERDANA MENTERI MALAYSIA KE REPUBLIK FILIPINA
1 - 2 MAC 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Filipina pada 1 dan 2 Mac 2023. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi sulung beliau ke Republik Filipina selepas menyandang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ke-10.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YABhg. Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Dr. Wan Ismail. Delegasi YAB Perdana Menteri juga akan disertai oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri; YB Senator Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, serta para pegawai Kerajaan daripada Kementerian dan Agensi yang berkaitan.
YAB Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan TYT Ferdinand R. Marcos Jr., Presiden Republik Filipina. Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan pelbagai perkara berkaitan kerjasama dua hala seperti kerjasama keselamatan, pertanian dan industri halal dan ekonomi digital. Kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.
YAB Perdana Menteri juga dijadualkan menyampaikan Syarahan Umum bertajuk “30 Tahun Selepas Gelombang Kebangkitan Asia: Pengajaran Strategik Buat ASEAN” di Universiti Filipina. YAB Perdana Menteri akan turut mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Filipina.
Lawatan ini mencerminkan hubungan akrab antara Malaysia dan Filipina selaku jiran rapat serta negara anggota ASEAN. Ia juga akan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak untuk memperkasakan jaringan kerjasama dua hala, bertunjangkan kepentingan bersama, peningkatan kerjasama ekonomi dan politik, serta jalinan antara rakyat.
Pada 2022, Republik Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara-negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (USD9.42 bilion), dengan peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.
PUTRAJAYA
28 Februari 2023