LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE KEMBOJA 27 MAC 2023
LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM PERDANA MENTERI MALAYSIA KE KEMBOJA 27 MAC 2023
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia akan mengadakan lawatan rasmi sulung ke Kemboja atas jemputan Tuan Yang Terutama Samdech Akka Moha Sena Padei Techo Hun Sen, Perdana Menteri Kemboja pada 27 Mac 2023.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri; YB Senator Dato' Setia Dr. Haji Mohd Na'im Haji Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama); YB V. Sivakumar, Menteri Sumber Manusia; serta pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Dalam rangka lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan kunjungan menghadap ke atas Yang Mulia Raja Norodom Sihamoni, Raja Kemboja. YAB Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan TYT Hun Sen. Kedua-dua pemimpin dijangka akan membincangkan peluasan kerjasama dua hala demi mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Kemboja yang telah lama terjalin. Dalam rangka program rasmi, YAB Perdana Menteri turut akan bertemu dengan Presiden Senat dan Presiden Dewan Rakyat Kemboja.
Satu majlis Iftar khas yang dihoskan oleh TYT Hun Sen bersama-sama para ilmuwan dan masyarakat Islam di Kemboja telah diatur sebagai tanda penghormatan kepada YAB Perdana Menteri. Semasa majlis Iftar tersebut, YAB Perdana Menteri dijangka menyampaikan sumbangan naskhah terjemahan Al-Quran dalam bahasa Khmer dan Inggeris kepada masyarakat Islam di Kemboja.
Lawatan rasmi oleh YAB Perdana Menteri ini mencerminkan hubungan yang mesra antara Malaysia dengan Kemboja dalam rangka dua hala serta ASEAN. Lawatan ini akan memberi peluang kepada Malaysia dan Kemboja untuk meneroka inisiatif bersama dalam bidang baharu yang berpotensi serta dapat menyumbang kepada pemulihan ekonomi yang mampan di kedua-dua negara.
Pada tahun 2022, Kemboja merupakan rakan dagangan ke-58 terbesar Malaysia di peringkat global dan ke-8 terbesar di kalangan negara-negara ASEAN. Jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja direkodkan pada USD 683.6 juta pada tahun 2022, meningkat 20.8% berbanding jumlah dagangan pada tahun 2021 sebanyak USD 566.1 juta.
PUTRAJAYA
27 Mac 2023