LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, PERDANA MENTERI, KE REPUBLIK KYRGYZ, KAZAKHSTAN DAN UZBEKISTAN 15 – 19 MEI 2024
LAWATAN RASMI YAB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM, PERDANA MENTERI, KE REPUBLIK
KYRGYZ, KAZAKHSTAN DAN UZBEKISTAN
15 – 19 MEI 2024
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Kyrgyz, Kazakhstan dan Uzbekistan dari 15 hingga 19 Mei 2024 atas jemputan Tuan Yang Terutama Sadyr Japarov, Presiden Republik Kyrgyz; Tuan Yang Terutama Kasym-Jomart Tokayev, Presiden Kazakhstan; dan Tuan Yang Terutama Shavkat Mirziyoyev, Presiden Uzbekistan.
YAB Perdana Menteri akan bertolak dari Doha, Qatar, di mana beliau sedang mengadakan Lawatan Rasmi susulan jemputan Yang Mulia Sheikh Tamim Bin Hamad Al Thani, Amir Qatar. YAB Perdana Menteri akan mengadakan lawatan ke tiga-tiga buah negara dengan diiringi oleh YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri; YB Dato’ Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya; dan YB Senator Dato’ Setia Dr Haji Mohd Na’im Mokhtar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, akan mengiringi delegasi di Republik Kyrgyz sahaja.
Di Republik Kyrgyzstan, YAB Perdana Menteri akan disambut dengan Majlis Sambutan Rasmi Negara sebelum bertemu dengan TYT Presiden Sadyr Japarov untuk membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian Malaysia dan Republik Kyrgyz. Atas jemputan Kerajaan Kyrgyzstan, YAB Perdana Menteri juga akan melawat pameran kraf dan barangan masyarakat orang pribumi di Taman Negara Ala Archa.
Jumlah perdagangan Malaysia-Kyrgyz mencatatkan jumlah RM162.3 juta (USD36.35 juta) pada 2023, peningkatan 312.6% berbanding 2022. Malaysia mengeksport barangan bernilai RM161.1 juta (USD36.09 juta) ke Republik Kyrgyz pada 2023, dan mengimport barangan elektrik dan elektronik, serta produk kimia bernilai RM1.22 juta (USD0.27 juta).
Di Kazakhstan, di mana TYT Presiden Kasym-Jomart Tokayev akan menghoskan YAB Perdana Menteri, beliau dijangka mengadakan mesyuarat Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia dengan industri-industri Kazakhstan. YAB Perdana Menteri juga akan bertemu dengan Presiden Kazakhstan pada 16 Mei 2024 untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Jumlah dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 berjumlah RM474.5 juta (USD104.2 juta), dengan nilai eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan sebanyak RM465.6 juta (USD102.2 juta), dan nilai import dari Kazakhstan sebanyak RM8.9 juta (USD1.9 juta).
Di Uzbekistan, YAB Perdana Menteri dijadual bertemu TYT Presiden Shavkat Mirziyoyev untuk mesyuarat dua hala bagi membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta bidang kerjasama yang berpotensi. Perdana Menteri kemudiannya akan melawat Kompleks Imam Hazrati, di mana manuskrip asal Mashaf Uthmani - yang tertua di dunia - disimpan dan dipamerkan.
Dari Tashkent, YAB Perdana Menteri akan ke Samarkand pada 18 Mei 2024 di mana beliau dijangka berucap di Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia yang diadakan di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera, Samarkand. Forum yang dihoskan oleh Uzbekistan itu akan turut dihadiri TYT Perdana Menteri Abdulla Nigmatovich Aripov.
Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan mencapai RM451.1 juta (USD94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (USD93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (USD414,518).
PUTRAJAYA
14 Mei 2024