LAWATAN RASMI TYT PRESIDEN TURKMENISTAN KE MALAYSIA 18-19 DISEMBER 2024
LAWATAN RASMI TYT PRESIDEN TURKMENISTAN KE MALAYSIA
18-19 DISEMBER 2024
TYT Serdar Berdimuhamedow, Presiden Turkmenistan akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 18 dan 19 Disember 2024. Lawatan ini merupakan lawatan pertama Presiden Berdimuhamedow ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden Turkmenistan pada Mac 2022. Beliau akan diiringi oleh tujuh (7) Timbalan Perdana Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Rashid Meredov; empat (4) Menteri Kabinet, termasuk Menteri Pertahanan Maksat Babayev; Menteri Kebudayaan Atageldi Shamyradov; dan Menteri Pertanian Charyyar Chetiyev; seorang (1) Timbalan Menteri serta pegawai-pegawai kanan dari Pejabat Presiden dan Kementerian Luar Negeri.
TYT Berdimuhamedow akan diberikan majlis sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putera, Putrajaya pada 19 Disember 2024, diikuti dengan pertemuan dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Mereka dijangka akan membincangkan isu-isu dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, kerjasama minyak dan gas, pendidikan tinggi, pelancongan, dan keterhubungan. Mereka juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuklah Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025.
Di antara bulan Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Turkmenistan meningkat dengan ketara sebanyak 74.8% kepada RM63.28 juta (USD13.90 juta) berbanding RM36.19 juta (USD7.91 juta) untuk tempoh yang sama pada tahun 2023.
Pada tahun 2023, Republik Turkmenistan merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Asia Tengah, dengan jumlah dagangan bernilai RM48.62 juta (USD10.57 juta).
PUTRAJAYA
18 Disember 2024