LAWATAN RASMI TYT LI QIANG, PERDANA MENTERI REPUBLIK RAKYAT CHINA KE MALAYSIA 18 HINGGA 20 JUN 2024
LAWATAN RASMI TYT LI QIANG, PERDANA MENTERI REPUBLIK RAKYAT CHINA
KE MALAYSIA
18 HINGGA 20 JUN 2024
TYT Li Qiang, Perdana Menteri Republik Rakyat China akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 18 hingga 20 Jun 2024. Ini merupakan lawatan pertama beliau sebagai Perdana Menteri Republik Rakyat China ke Malaysia. Lawatan beliau juga adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China berikutan penandatanganan Kenyataan Bersama oleh Tun Abdul Razak dan TYT Chou En Lai pada 31 Mei 1974.
Semasa lawatan tersebut, TYT Li akan mengadakan pertemuan dua hala dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, untuk membincangkan hal berkaitan hubungan dua hala antara Malaysia dan China serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman dan persetujuan dalam pelbagai bidang kerjasama, termasuk ekonomi digital, pembangunan hijau, pelancongan, perumahan dan pembangunan urbanisasi, pendidikan tinggi, sains dan teknologi serta pengeksportan agrikomoditi ke China. Kedua-dua pihak juga akan menghadiri majlis makan malam bagi menyambut ulang tahun ke-50.
TYT Li juga akan mengadakan Kunjungan Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kedua-dua pemimpin juga akan menghadiri majlis upacara pecah tanah Laluan Rel Pantai Timur (East Coast Rail Link – ECRL) di Gombak dan makan tengah hari bersama komuniti perniagaan dari kedua-dua negara.
Pada tahun 2023, China kekal sebagai rakan perdagangan Malaysia terbesar bagi lima belas tahun berturut-turut dari tahun 2009, dengan jumlah perdagangan sebanyak RM450.84 bilion (USD98.90 bilion). Hubungan diplomatik Malaysia dengan China bertambah kukuh sejak penaiktarafan hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada tahun 2013.
PUTRAJAYA
18 Jun 2024