LAWATAN RASMI TUAN YANG TERUTAMA WANG YI, MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK RAKYAT CHINA KE MALAYSIA 11 DAN 12 OGOS 2023
LAWATAN RASMI TUAN YANG TERUTAMA WANG YI,
MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK RAKYAT CHINA KE MALAYSIA
11 DAN 12 OGOS 2023
Tuan Yang Terutama Wang Yi, Pengarah Pejabat Suruhanjaya Hal Ehwal Luar merangkap Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 11 dan 12 Ogos 2023. Ini merupakan lawatan kali keenam beliau ke Malaysia sebagai Menteri Luar Negeri Republik Rakyat China.
Semasa lawatan ini, TYT Wang Yi dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri serta mengadakan mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatan beliau, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri.
Lawatan TYT Wang Yi ke Malaysia akan memberi peluang terbaik untuk kedua-dua pihak membincangkan serta bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Lawatan ini juga akan mengukuhkan lagi hubungan strategik antara kedua-dua negara, merangkumi pelbagai bidang kerjasama untuk faedah bersama.
Tahun ini merupakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif antara Malaysia dan China. Kedua-dua negara akan menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun hadapan dan ini jelas membuktikan persahabatan yang telah terjalin lama serta hasil kerjasama teguh dalam pelbagai sektor.
Sejak sedekad yang lalu, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM487.13 bilion (USD110.62 bilion), peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun 2021.
PUTRAJAYA
11 Ogos 2023