LAWATAN RASMI TUAN YANG TERUTAMA HAN ZHENG, NAIB PRESIDEN REPUBLIK RAKYAT CHINA KE MALAYSIA 8 – 11 NOVEMBER 2023
LAWATAN RASMI TUAN YANG TERUTAMA HAN ZHENG,
NAIB PRESIDEN REPUBLIK RAKYAT CHINA
KE MALAYSIA
8 – 11 NOVEMBER 2023
Tuan Yang Terutama Han Zheng, Naib Presiden Republik Rakyat China (RRC) akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 8 hingga 11 November 2023. Lawatan ini adalah bersempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China tahun ini. YB Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia, Datuk Mohamad Alamin akan hadir menerima TYT Han Zheng di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Semasa di Malaysia, TYT Han Zheng akan menghadiri Majlis Sembah Menghadap ke atas KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Negara. Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pada hari yang sama, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri I akan menganjurkan majlis makan malam untuk meraikan kedatangan TYT Han Zheng. Antara perkara yang akan dibincangkan ialah isu dua hala sama ada serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, kerjasama dalam industri halal, konflik Palestin-Israel dan juga ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China yang akan disambut pada tahun 2024.
TYT Han Zheng juga dijangka akan melawat Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, Perak dan Pulau Pinang.
Sejak sedekad yang lalu, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Pada tahun 2022, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai RM487.13 bilion (USD110.62 bilion), peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun 2021. China juga merupakan pelabur langsung asing terbesar di Malaysia bagi tahun 2022, dengan pelaburan berjumlah RM55.4 bilion (USD12.5 bilion).
PUTRAJAYA
8 NOVEMBER 2023