LAWATAN RASMI TUAN YANG TERUTAMA HAKAN FIDAN, MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK TÜRKIYE KE MALAYSIA, 15 HINGGA 16 JULAI 2023
LAWATAN RASMI TUAN YANG TERUTAMA HAKAN FIDAN,
MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK TÜRKIYE KE MALAYSIA,
15 HINGGA 16 JULAI 2023
YB Dato' Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri akan meraikan rakan sejawatnya dari Türkiye, Tuan Yang Terutama Hakan Fidan, Menteri Luar Negeri Republik Türkiye, yang akan mengadakan lawatan rasmi selama dua (2) hari ke Malaysia dari 15 hingga 16 Julai 2023. Lawatan ini merupakan lawatan pertama Tuan Yang Terutama Hakan Fidan ke Malaysia selepas dilantik sebagai Menteri Luar Negeri Republik Türkiye pada 3 Jun 2023.
Semasa lawatan tersebut, kedua-dua Menteri Luar Negeri dijangka akan membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kerjasama di antara kedua-dua buah negara selaras dengan peningkatan taraf hubungan dua hala kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Julai 2022. Agenda utama perbincangan merangkumi kerjasama dalam pelbagai bidang termasuklah perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, serta sains dan teknologi. Kedua-dua Menteri juga akan bertukar-tukar pandangan dalam pelbagai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuklah isu-isu yang melibatkan umat Islam.
Semasa lawatan ini, Tuan Yang Terutama Hakan Fidan juga dijadualkan akan mengadakan Kunjungan Hormat ke atas YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keenam terbesar dari rantau Asia Barat. Pada tahun 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan Türkiye meningkat sebanyak 12.6% kepada RM20.25 bilion (USD4.62 bilion) dari RM17 bilion (USD4.10 bilion) pada tahun sebelumnya.
PUTRAJAYA
15 Julai 2023