LAWATAN RASMI PRESIDEN REPUBLIK GUINEA-BISSAU KE MALAYSIA 3–5 JUN 2025
LAWATAN RASMI PRESIDEN REPUBLIK GUINEA-BISSAU KE MALAYSIA
3–5 JUN 2025
Presiden Republik Guinea-Bissau, TYT Jeneral Umaro Sissoco Embalo, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 3 hingga 5 Jun 2025. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak memegang jawatan berkenaan pada Februari 2020. Beliau akan diiringi oleh Menteri Perancang Ekonomi dan Integrasi Serantau, serta pegawai-pegawai kanan Kabinet Presiden Guinea-Bissau.
TYT Presiden Embalo akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, dan diikiuti dengan mesyuarat Bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Perbincangan akan tertumpu kepada usaha memperkukuh kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan pembangunan kapasiti. Kedua-dua pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama. Bagi meraikan TYT Presiden Embalo dan delegasi, YAB Perdana Menteri seterusnya akan menghoskan jamuan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.
Malaysia dan Republik Guinea-Bissau telah menjalin hubungan diplomatik pada November 1974. Hubungan dua hala antara kedua-dua negara adalah baik, terutamanya komitmen bersama terhadap kerjasama di peringkat dua hala dan pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).
Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Guinea-Bissau telah mencapai RM4.1 juta, dengan nilai eksport Malaysia ke Guinea-Bissau sebanyak RM4.04 juta dan import berjumlah RM0.06 juta.
PUTRAJAYA
3 Jun 2025