LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM KE MALAYSIA 25 MEI 2025
LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI
REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM KE MALAYSIA
25 MEI 2025
TYT Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 25 Mei 2025. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Vietnam pada April 2021. TYT Pham Minh Chinh akan diiringi oleh isteri, Puan Le Thi Bich Tran; TYT Bui Thanh Son, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri Republik Sosialis Vietnam, menteri-menteri, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
TYT Pham Minh Chinh akan disambut oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam satu istiadat sambutan rasmi yang akan diadakan di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan Mesyuarat Dua Hala. Mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada kemajuan kerjasama dua hala, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga boleh baharu, pelancongan, dan teknologi digital.
Kedua-dua Pemimpin juga akan bertukar-tukar pandangan yang substantif mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai satu platform yang sepadu dan responsif untuk menangani isu bersama, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang semakin meningkat.
Lawatan rasmi ini, yang berlangsung menjelang Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2, dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur, menyerlahkan hubungan kukuh antara Malaysia dengan Vietnam. Hubungan antara kedua-dua negara telah dipertingkatkan kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada November 2024.
Pada tahun 2024, Vietnam merupakan rakan dagang ke-11 terbesar Malaysia di peringkat global, dan ke-4 terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN. Nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berjumlah RM83.11 bilion, dengan eksport dari Malaysia ke Vietnam bernilai RM53.86 bilion, dan import dari Vietnam ke Malaysia bernilai RM29.25 billion. Syarikat-syarikat Malaysia telah melaksanakan lebih daripada 700 projek di Vietnam merentasi pelbagai sektor, dengan nilai pelaburan terkumpul kini melebihi USD13 bilion.
PUTRAJAYA
24 Mei 2025