LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK SINGAPURA KE MALAYSIA 6 - 7 JANUARI 2025
LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK SINGAPURA KE MALAYSIA
6 - 7 JANUARI 2025
Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 6 dan 7 Januari 2025. Lawatan rasmi ini juga bersempena Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 (11 th Malaysia-Singapore Leaders’ Retreat – ALR) pada 7 Januari 2025. Beliau akan diiringi oleh isteri, Puan Loo Tze Lui, TYT Gan Kim Yong, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri dan beberapa Menteri lain.
TYT Lawrence Wong akan diraikan dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat delegasi ALR bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Satu Kenyataan Akhbar Bersama akan dikeluarkan selepas ALR tersebut.
Semasa lawatan tersebut, kedua-dua pihak dijangka menilai kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Singapura serta membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Kedua-dua Pemimpin juga dijadualkan untuk menyaksikan pertukaran Perjanjian Bersama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (Joint Agreement on Johor-Singapore Special Economic Zone - JS-SEZ) serta enam Memorandum Persefahaman (MoU) dan satu Surat Niat yang merangkumi pendidikan, wanita dan kebajikan sosial, perubahan iklim, penangkapan dan penyimpanan karbon, pembangunan bandar dan usaha memerangi jenayah rentas sempadan.
Sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menjalin hubungan erat dan meluas dalam pelbagai bidang. Kedua-dua negara kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar antara satu sama lain, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah USD78.59 bilion (RM360.12 bilion) dari Januari hingga November 2024, meningkat sebanyak 6.7% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
PUTRAJAYA
5 Januari 2025