LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE KE MALAYSIA 1 - 3 DISEMBER 2024
LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK TIMOR-LESTE
KE MALAYSIA
1 - 3 DISEMBER 2024
Tuan Yang Terutama Kay Rala Xanana Gusmão, Perdana Menteri Republik Demokratik Timor-Leste akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 1 hingga 3 Disember 2024. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas dilantik ke jawatan tersebut pada 1 Julai 2023.
TYT Xanana Gusmão akan diraikan dalan satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan mesyuarat dua hala bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai kemajuan hubungan dua hala, serta potensi kerjasama antara kedua-dua negara pada masa hadapan. Kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pembangunan kapasiti, dan kesalinghubungan adalah antara perkara yang bakal dibincangkan oleh kedua-dua pemimpin semasa pertemuan tersebut. Kedua-dua Perdana Menteri turut akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah berkenaan pemberian sebidang tanah oleh Kerajaan Republik Demokratik Timor-Leste bagi pembangunan Kompleks Canseri Kedutaan Besar Malaysia di Dili. Pihak Timor-Leste telah berhasrat untuk menghadiahkan tanah tersebut kepada Malaysia sebagai tanda penghargaan di atas bantuan dan sokongan yang telah diberikan oleh Malaysia sejak sebelum kemerdekaan Timor-Leste lagi. Selain itu, kedua-dua Perdana Menteri juga akan menyaksikan Pertukaran Nota bagi Pengaturan Pengecualian Visa yang akan memberikan kemudahan pengecualian visa kepada rakyat kedua-dua buah negara.
YAB Perdana Menteri seterusnya akan menghoskan satu Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan TYT Xanana Gusmão dan delegasi di Seri Perdana, Putrajaya.
TYT Xanana Gusmão juga akan mengadakan Kunjungan Menghadap ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Semasa lawatan ini, TYT Xanana Gusmão juga dijangka akan menyampaikan syarahan umum bertajuk “International Diplomacy in an increasingly fragmented and fragile world” di Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR).
Lawatan ini dilihat dapat mempertingkat usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan baik dan mesra yang dinikmati selama ini serta membuktikan sokongan Malaysia dalam merealisasikan hasrat Timor-Leste untuk menjadi Negara Anggota Penuh ASEAN. Pada tahun 2023, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Timor-Leste mencatatkan jumlah USD43.7 juta (RM196.7 juta). Jumlah eksport Malaysia ke Timor-Leste telah mencatatkan sebanyak USD43.3 juta (RM195.0 juta), manakala, jumlah import produk daripada Timor-Leste pula telah mencatatkan sebanyak USD0.4 juta (RM1.7 juta).
PUTRAJAYA
1 Disember 2024