LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT LAOS KE MALAYSIA 25 MEI 2025
LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK
DEMOKRATIK RAKYAT LAOS KE MALAYSIA
25 MEI 2025
TYT Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Lao, akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 25 Mei 2025. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Laos pada Disember 2022. Semasa lawatan tersebut, TYT Sonexay Siphandone akan diiringi oleh isteri beliau, Puan Vandara Siphandone, serta para menteri dan pegawai kanan kerajaan Laos.
TYT Sonexay Siphandone akan disambut oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, diikuti dengan Mesyuarat Dua Hala. Mesyuarat tersebut akan memberi tumpuan kepada kemajuan hubungan dua hala sedia ada, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, tenaga boleh baharu, pengangkutan, pelancongan, pembangunan kapasiti, pertanian dan industri halal.
Kedua-dua Pemimpin turut akan bertukar pandangan secara menyeluruh mengenai perkembangan serantau dan global, dengan penekanan kepada kepentingan strategik ASEAN sebagai sebuah platform yang padu dan responsif dalam menangani isu-isu bersama, terutamanya dalam menghadapi cabaran geopolitik dan geoekonomi yang sedang berkembang.
Lawatan rasmi ini, yang diadakan menjelang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC ke-2 dan Sidang Kemuncak Ekonomi ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei 2025 di Kuala Lumpur, mencerminkan hubungan erat dan berterusan antara Malaysia dan Republik Demokratik Rakyat Lao.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Republik Demokratik Rakyat Lao dicatatkan sebanyak USD21.9 juta (RM99.7 juta), dengan eksport bernilai USD14.9 juta (RM67.8 juta) dan import berjumlah USD7.0 juta (RM31.9 juta). Malaysia merupakan pelabur asing kelima terbesar di Republik Demokratik Rakyat Lao, dengan jumlah pelaburan sebanyak USD942 juta merangkumi 46 projek berdaftar, yang tertumpu kepada sektor seperti tenaga boleh baharu, pengangkutan dan logistik, telekomunikasi, pembinaan, perbankan dan perkhidmatan hotel.
PUTRAJAYA
24 Mei 2025