LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI NEW ZEALAND KE MALAYSIA 1 – 3 SEPTEMBER 2024
LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI NEW ZEALAND KE MALAYSIA
1 – 3 SEPTEMBER 2024
Tuan Yang Terutama Christopher Luxon, Perdana Menteri New Zealand akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 1 hingga 3 September 2024. Lawatan ini merupakan lawatan pertama TYT Luxon ke Malaysia sejak dilantik sebagai Perdana Menteri New Zealand pada November 2023.
TYT Luxon akan disambut menerusi Majlis Sambutan Rasmi yang akan diadakan di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya, pada 2 September 2024. Majlis diikuti dengan pertemuan dua hala bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Kedua-dua Perdana Menteri dijangka akan membincangkan isu-isu berkaitan hubungan dan kerjasama dua hala di bawah Perkongsian Strategik Malaysia-New Zealand yang dimeterai pada 2023, merangkumi empat tonggak: Kemakmuran, Rakyat, Planet, dan Keamanan & Keselamatan.
Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Satu sidang media bersama dan satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan sejurus selepas mesyuarat dua hala diadakan. YAB Perdana Menteri seterusnya akan menghoskan Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan TYT Luxon dan delegasi di Kompleks Seri Perdana.
TYT Luxon juga akan mengadakan pertemuan bersama YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air.
Pada tahun 2023, New Zealand merupakan rakan dagangan yang ke-28, serta destinasi eksport yang ke-22 dan sumber import yang ke-27 bagi Malaysia di rantau Oceania. Jumlah dagang antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (USD2.54 bilion).
PUTRAJAYA
1 September 2024