LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI KEMBOJA KE MALAYSIA
LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI KEMBOJA KE MALAYSIA
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, akan menerima Tuan Yang Terutama Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet, Perdana Menteri Kemboja, dalam siri Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 27 Februari 2024. Ini merupakan lawatan sulung TYT Hun Manet ke Malaysia sejak dilantik Perdana Menteri Kemboja pada Ogos 2023. TYT Hun Manet diiringi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Negeri dan Kerjasama Antarabangsa Tuan Yang Terutama Sok Chenda Sophea, menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Kemboja.
Dalam rangka lawatan tersebut, TYT Hun Manet akan mengadakan Kunjungan Menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.
TYT Hun Manet akan disambut dalam satu Majlis Sambutan Rasmi di Dataran Perdana Putra, Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Selepas majlis tersebut, YAB Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama TYT Hun Manet, di mana perbincangan akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, tenaga, keselamatan, komunikasi maklumat serta peranan Malaysia dalam pembangunan sosio-ekonomi komuniti Muslim di Kemboja.
Kedua-dua Pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman dalam Bidang Kewangan Inovatif dan Perkhidmatan Pembayaran antara Bank Negara Malaysia dan Bank Kebangsaan Kemboja. TYT Hun Manet juga dijadual bertemu YB Senator Datuk Mutang Tagal, Yang di-Pertua Dewan Negara dan YB Tan Sri Dato’ Dr Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, di Parlimen Malaysia.
Lawatan Rasmi ini akan memberi nilai tambah ke arah pengukuhan hubungan Malaysia-Kemboja dalam konteks dua hala mahupun kerjasama serantau ASEAN. Kemboja merupakan antara negara terawal menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia pada tahun 1957.
Pada tahun 2023, Kemboja merupakan rakan dagang ke-9 terbesar Malaysia di rantau ASEAN. Nilai dagangan dua hala Malaysia-Kemboja direkodkan pada RM3.02 bilion, dengan eksport Malaysia ke Kemboja bernilai RM2.35 bilion, iaitu peningkatan 1.6% berbanding tahun sebelumnya. Syarikat-syarikat Malaysia juga telah melaksanakan 162 projek di Kemboja dengan nilai pelaburan berjumlah RM14.4 billion.
PUTRAJAYA
27 Februari 2024