LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK KYRGYZ KE MALAYSIA 1 – 3 APRIL 2024
LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK KYRGYZ KE MALAYSIA
1 – 3 APRIL 2024
Tuan Yang Terutama Zheenbek Kulubaev, Menteri Luar Negeri Republik Kyrgyz, sedang mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 1 hingga 3 April 2024.
Pada hari ini, 1 April 2024, TYT Kulubaev bertemu Menteri Luar Negeri YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan bagi membincangkan hubungan Malaysia-Kyrgyz serta bertukar-tukar perspektif mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Kedua-dua Menteri turut membincangkan potensi lawatan peringkat tinggi di antara Malaysia dan Republik Kyrgyz, serta menyatakan kepuashatian dengan hasil Rundingan Dua Hala yang diadakan buat julung kali di antara kedua-dua buah negara pada bulan Februari tahun ini.
Ini merupakan mesyuarat pertama bagi kedua-dua Menteri tersebut sejak YB Menteri Luar Negeri menyandang jawatannya pada Disember 2023.
TYT Kulubaev dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 2 April ini.
Hubungan dua hala antara Malaysia dan Republik Kyrgyz yang bermula sejak 1992 terus berkembang secara ketara, terutamanya dalam sektor perdagangan, pendidikan, pelancongan dan bantuan teknikal. Pada 2023, Republik Kyrgyzstan merupakan rakan dagangan global ke-191 Malaysia, dengan jumlah perdagangan berjumlah RM162.31 juta (USD36.35 juta) dan lebihan dagangan sebanyak RM159.88 juta (USD35.82 juta) berpihak ke Malaysia.
PUTRAJAYA
1 April 2024