LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK ARGENTINA KE MALAYSIA 18 MAC 2024
LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK ARGENTINA
KE MALAYSIA
18 MAC 2024
Puan Yang Terutama Diana Mondino, Menteri Luar Negeri Republik Argentina, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 18 dan 19 Mac 2024. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia selepas menyandang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri pada 10 Disember 2023.
Dalam rangka lawatan ini, PYT Mondino dijadualkan untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, di Perdana Putra. PYT Mondino akan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri. Selain membincangkan hubungan dua hala Malaysia-Argentina, kedua-dua Menteri Luar akan mengutarakan tentang perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk hubungan Malaysia dengan “Southern Common Market” (MERCOSUR), kerjasama ASEAN-Argentina dan Konflik Palestin-Israel.
Selain itu, PYT Mondino bakal mengadakan pertemuan dengan YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, untuk membincangkan kerjasama dalam sektor pertanian dan Halal.
PYT Mondino juga akan mengadakan pertemuan dengan YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, dan menyertai perbincangan meja bulat bersama para pelabur utama Malaysia yang beroperasi di Argentina, termasuk PETRONAS dan IJM.
Republik Argentina merupakan rakan dagangan ketiga terbesar Malaysia di rantau Amerika Latin dengan jumlah dagangan pada tahun 2023 bernilai RM8.23 bilion (USD1.81 bilion).
PUTRAJAYA
18 Mac 2024