LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR KE REPUBLIK IRAQ 23 – 25 OGOS 2023
LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
YB DATO’ SERI DIRAJA DR. ZAMBRY ABD KADIR KE REPUBLIK IRAQ
23 – 25 OGOS 2023
YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Luar Negeri Malaysia akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Republik Iraq dari 23 – 25 Ogos 2023 atas jemputan rakan sejawatannya, Tuan Yang Terutama Dr. Fuad Hussein, Timbalan Perdana Menteri Hal Ehwal Antarabangsa dan Menteri Luar Negeri Republik Iraq. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Republik Iraq selepas menyandang jawatan sebagai Menteri Luar Negeri pada 2 Disember 2022. YB Menteri Luar Negeri akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Kementerian Luar Negeri dan delegasi perniagaan.
Semasa lawatan ini, YB Menteri Luar Negeri dijangka akan mengadakan kunjungan hormat ke atas pemimpin-pemimpin Iraq. Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Tuan Yang Terutama Dr. Fuad Hussein bagi menyusul perbincangan yang telah diadakan di sela-sela Mesyuarat Biro Penyelarasan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) Peringkat Menteri Luar Negeri pada 5 Julai 2023. Pertemuan ini akan memberi peluang terbaik kepada Malaysia untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin sejak sekian lama dengan Republik Iraq serta meneroka bidang kerjasama baharu yang berkepentingan bersama. YB Menteri Luar Negeri juga akan mengambil peluang di Baghdad untuk mengadakan sesi libat urus dengan komuniti perniagaan Iraq untuk meneroka potensi dalam bidang ekonomi antara kedua-dua negara.
Republik Iraq adalah rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dan sumber import ketujuh terbesar dari kalangan negara-negara Asia Barat. Jumlah dagangan pada 2022 bernilai RM4.68 bilion (USD1.07 bilion), meningkat 24.3% berbanding RM3.76 bilion (USD0.91 bilion) pada 2021.
PUTRAJAYA
23 Ogos 2023