LAWATAN NEGARA TYT FERDINAND R. MARCOS JR., PRESIDEN REPUBLIK FILIPINA KE MALAYSIA, 25-27 JULAI 2023
LAWATAN NEGARA TYT FERDINAND R. MARCOS JR., PRESIDEN REPUBLIK
FILIPINA KE MALAYSIA, 25-27 JULAI 2023
Tuan Yang Terutama Ferdinand R. Marcos Jr., Presiden Republik Filipina, akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia dari 25 hingga 27 Julai 2023. Lawatan Negara ini merupakan lawatan sulung Presiden Marcos Jr. ke Malaysia.
Presiden Marcos Jr. akan diiringi oleh pasangan beliau, Puan Louise Araneta-Marcos. Delegasi Presiden Marcos Jr. juga akan disertai oleh Setiausaha-setiausaha Kabinet, ahli-ahli politik serta pegawai kanan Kerajaan Republik Filipina.
Presiden Marcos Jr. akan diberikan Sambutan Negara oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di Istana Negara pada 26 Julai 2023. Selepas itu, Presiden Marcos Jr. dijadual akan mengadakan Kunjungan Mengadap ke atas KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, disusuli dengan satu Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden Marcos Jr. serta delegasi Republik Filipina.
Sewaktu lawatan tersebut, Presiden Marcos Jr. juga dijadualkan bertemu dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang mana kedua-dua pemimpin dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Lawatan ini menggambarkan jalinan persahabatan dan hubungan erat antara kedua-dua negara selaku jiran rapat serta negara Anggota ASEAN, termasuk menerusi pertukaran lawatan di tahap tertinggi seperti lawatan rasmi YAB Perdana Menteri ke Manila pada bulan Mac 2023 yang lalu. Pada tahun 2022, Republik Filipina merupakan rakan dagangan dunia ke-15 terbesar Malaysia dan ke-5 terbesar dalam kalangan negara- negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM41.45 bilion (USD9.42 bilion), dengan peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding jumlah dagangan pada 2021.
PUTRAJAYA
25 Julai 2023