LAWATAN NEGARA TUAN YANG TERUTAMA FRANK-WALTER STEINMEIER, PRESIDEN REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN KE MALAYSIA 16 – 18 FEBRUARI 2023
LAWATAN NEGARA TUAN YANG TERUTAMA FRANK-WALTER STEINMEIER,
PRESIDEN REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN KE MALAYSIA
16 – 18 FEBRUARI 2023
Tuan Yang Terutama Frank-Walter Steinmeier, Presiden Republik Persekutuan Jerman dan isteri, Puan Yang Terutama Elke Büdenbender akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia dari 16 hingga 18 Februari 2023. Presiden Steinmeier akan diiringi oleh pegawai-pegawai kanan, ahli-ahli perniagaan dan para petugas media. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk mengukuhkan hubungan erat sedia ada antara Malaysia dan Jerman. Lawatan Negara terakhir oleh Presiden Republik Persekutuan Jerman ke Malaysia adalah pada April 1997 iaitu 26 tahun yang lalu.
Presiden Steinmeier akan diberikan Sambutan Negara oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah di pekarangan Parlimen Malaysia pada 17 Februari 2023.
Selepas majlis itu, Presiden Steinmeier dijangka menerima Kunjungan Hormat oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya. Kedua-dua pemimpin tersebut dijangka akan membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.
Sejurus itu, Presiden Steinmeier dijadual untuk mengadakan Kunjungan Mengadap ke atas Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, disusuli dengan satu Majlis Santapan Negara bagi meraikan Presiden Steinmeier dan delegasi. Presiden Steinmeier dan delegasi turut dijangka akan mengadakan lawatan ke Pulau Pinang dan Sarawak semasa lawatan ini.
Lawatan oleh Presiden Steinmeier akan memberi peluang yang terbaik kepada Malaysia dan Jerman untuk mengukuhkan lagi hubungan baik serta kerjasama pelbagai bidang di antara kedua-dua negara. Lawatan Negara ini dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan Kuala Lumpur-Berlin dan menyediakan satu asas yang kukuh untuk meningkatkan hubungan kedua-dua negara ke tahap yang lebih tinggi.
Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara- negara Kesatuan Eropah (EU). Pada 2022, nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 10.9% berjumlah RM59.87 bilion (USD13.62 bilion) berbanding RM53.99 bilion (USD13.03 bilion) pada tahun 2021.
PUTRAJAYA
16 Februari 2023