LAWATAN NEGARA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM KE MALAYSIA BERSEMPENA DENGAN RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN KALI KE-24 ANTARA MALAYSIA DAN BRUNEI DARUSSALAM 2 - 4 OGOS 2023
LAWATAN NEGARA KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI
BAGINDA SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM
KE MALAYSIA BERSEMPENA DENGAN
RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN KALI KE-24
ANTARA MALAYSIA DAN BRUNEI DARUSSALAM
2 - 4 OGOS 2023
Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda (PSB) Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia dari 2 hingga 4 Ogos 2023 bersempena dengan Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) kali ke-24 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.
KDYMM PSB Sultan Haji Hassanal Bolkiah akan diiringi oleh KDYMM Paduka Seri Baginda (PSB) Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, Menteri-menteri Kabinet dan Pegawai- pegawai Kanan Kerajaan.
KDYMM PSB Sultan Brunei Darussalam akan diraikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam satu Majlis Sambutan Negara di Istana Negara pada 3 Ogos 2023. Ini akan disusuli dengan Kunjungan Mengadap ke atas KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan satu Majlis Santapan Negara bagi meraikan KDYMM PSB Sultan Brunei Darussalam dan delegasi.
Semasa Lawatan Negara tersebut, KDYMM PSB Sultan Brunei Darussalam dijadualkan menghadiri ALC ke-24 bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia. Sebagai mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam, ALC akan memberikan peluang bagi kedua-dua pemimpin membincangkan kemajuan kerjasama dan isu-isu dua hala yang tertunggak. Kedua-dua pemimpin akan menggunakan peluang ini untuk membincangkan pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Seterusnya, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala di antara kedua- dua buah negara.
Lawatan Negara ini akan dapat memperkukuhkan lagi hubungan erat dan pelbagai jalinan kerjasama yang telah lama wujud di antara kedua-dua buah negara yang juga rakan kongsi di dalam ASEAN. Brunei Darussalam merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia dan rakan dagang ke-6 terbesar di rantau ASEAN dengan jumlah dagangan bernilai RM13.22 bilion (USD2.98 bilion) pada tahun 2022 iaitu peningkatan sebanyak 68.4% berbanding tahun 2021.
PUTRAJAYA
2 Ogos 2023